Kanada gesa rakyat segera tinggalkan Timur Tengah

OTTAWA - Menteri Luar Kanada, Anita Anand mengeluarkan kenyataan segera pada Jumaat, menggesa rakyat Kanada di beberapa kawasan di Timur Tengah supaya meninggalkan wilayah itu berikutan situasi keselamatan yang "tidak menentu dan sukar diramal," lapor Xinhua.
Anand menasihatkan rakyat Kanada di rantau berkenaan supaya "sentiasa berwaspada, memantau media tempatan dan antarabangsa selain mengikut arahan pihak berkuasa tempatan, termasuk sebarang arahan untuk berlindung di lokasi masing-masing."
Kenyataan itu secara khusus mengesyorkan agar rakyat Kanada di Israel, Palestin dan Lubnan "mempertimbangkan untuk keluar selagi pilihan komersial masih tersedia."
Amaran bagi rakyat Kanada di Iran adalah lebih serius dengan menggesa mereka supaya "keluar sekarang jika mereka boleh melakukannya dengan selamat."
Sambil menekankan ketiadaan misi diplomatik Kanada di Iran, kenyataan itu menyebut, "Tiada kedutaan Kanada di Iran dan keupayaan kami untuk menyediakan perkhidmatan konsular adalah sangat terhad, terutamanya semasa konflik aktif."
Ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran semakin memuncak di tengah-tengah pengukuhan ketenteraan besar-besaran AS di Timur Tengah dan rundingan nuklear yang tergendala. - Bernama-Xinhua
Ringkasan AI
- Menteri Luar Kanada menggesa rakyatnya di Timur Tengah meninggalkan wilayah itu kerana keselamatan yang tidak menentu
- Rakyat Kanada di Israel, Palestin dan Lubnan disarankan untuk keluar selagi ada pilihan komersial
- Amaran lebih serius diberikan kepada rakyat Kanada di Iran dengan menggesa mereka untuk keluar secepat mungkin
- Tidak ada kedutaan Kanada di Iran, menyebabkan perkhidmatan konsular sangat terhad
- Ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran semakin memuncak, mempengaruhi keputusan amaran keselamatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
