Tiga penyamun menyamar polis diberkas

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Polis memberkas tiga lelaki yang disyaki menyamar sebagai anggota polis dan menyamun mangsa di Taman Melawati di sini pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di Jalan Taman Melawati di sini pada jam 10.30 malam Sabtu.

"Kita merampas beg silang, empat buah telefon bimbit, sebuah motosikal jenis Yamaha LC135," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Mohamad Farouk berkata, siasatan mendapati suspek itu mempunyai dua rekod lampau dadah.

"Hasil siasatan lanjut, kita memberkas dua lagi rakan suspek berusia 24 dan 45 tahun di lokasi sama pada keesokan hari.

"Kita turut merampas satu jaket hitam, satu beg silang, satu beg dompet, dua telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Proton Perdana warna hitam serta wang tunai RM1,060," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah.

"Salah seorang suspek mempunyai satu rekod samun dan satu rekod merusuh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Farouk berkata, modus operandi kumpulan penjenayah itu ialah dengan menyasarkan mangsa lemah, berbadan kecil dan bersendirian.

"Suspek memperkenal diri sebagai polis dan akan menahan mangsa. Salah sorang rakan suspek akan melakukan pemeriksaan, manakala seorang suspek lagi akan bertindak merampas barang milik mangsa dan membawa lari," katanya.

Menurutnya, suspek biasanya melakukan jenayah berkenaan selepas jam 8 malam.

"Suspek hanya berpakaian awam ketika melakukan kegiatan jenayah," katanya.

Mohamad Farouk berkata, berikutan penahanan tiga suspek tersebut, pihaknya berjaya menyelesaikan tiga kes di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

"Kita masih mengesan rakan sejenayah yang masih bebas," katanya.

Beliau berkata, ujian urin ke atas semua suspek didapati positif dadah jenis amphetamin.

"Kesemua suspek ditahan reman sehingga 21 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaaan," katanya.