Pekerja asing berdaftar wajib jalani ujian saringan Covid-19

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA PERLIS - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perlis mengadakan operasi khas bermula hari ini sehingga 28 Februari depan bagi memastikan 2,562 pekerja asing berdaftar di negeri itu menjalani ujian saringan Covid-19.

Pengarahnya, Iskandar Jassa berkata, langkah itu bertujuan mengawal penularan wabak tersebut dalam komuniti.

"Hari ini kita telah melakukan lawatan terhadap 11 majikan dan hasil pemeriksaan mendapati hanya satu majikan yang melakukan saringan Covid-19 terhadap pekerjanya,” katanya ketika ditemui pemberita di Pelantar Ikan Kuala Perlis di sini pada Isnin.

Beliau berkata, majikan yang masih belum melakukan saringan terhadap pekerja asing mereka perlu segera berbuat demikian bagi mengelak dikenakan sebarang tindakan.

Menurutnya, majikan yang gagal berbuat demikian dan melanggar Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Iskandar berkata, semua pekerja asing yang pernah menjalani saringan Covid-19 sebelum 1 Disember 2020 juga diwajibkan untuk melakukan saringan semula. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!