Kes harian baharu Covid-19 kekal di atas 3,000

DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia terus merekodkan kes kematian akibat Covid-19 lebih dua minggu berturut-turut sejak 1 Januari lepas, dengan tujuh kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini, sebanyak 601 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tujuh kes kematian terbaharu itu melibatkan tiga pesakit di Selangor, dua di Johor dan masing-masing satu kes di Kedah dan Negeri Sembilan.

“Pesakit termuda merupakan wanita warganegara berumur 32 tahun dari Selangor namun tiada perincian latar belakang penyakit disertakan, manakala pesakit tertua adalah seorang lelaki berumur 93 tahun di Kedah yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik dan jantung,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 3,339 kes baharu dilaporkan hari ini dengan 3,324 daripadanya merupakan kes tempatan manakala bakinya kes import.

"Peningkatan kes harian itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 158,434 manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan kini 37,782 kes," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata 2,676 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 adalah sebanyak 120,051 kes atau 75.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau turut memaklumkan terdapat 10 kluster baharu dikenal pasti hari ini dengan enam daripadanya merupakan kluster tempat kerja serta kluster melibatkan majlis hari keluarga dan sejarah rentas negeri dari Selangor.

Kluster Jalan Pandan Indah mencatat 77 kes, Kluster DTI Sepang 2 (80 kes), Kluster Taman Ikan Jinak (21 kes), Kluster Jalan Mawila (15 kes) dan Kluster Jalan Perak dengan 35 kes.

Artikel Berkaitan:

Kluster Jalan Menerung pula mencatat 23 kes, Kluster Tapak Bina Jalan Yap (21 kes), Kluster Rantau Lada (19 kes), Kluster Pantai Peringgit (24 kes) dan Kluster Jalan Mohammad Salleh sebanyak 12 kes, katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, jumlah keseluruhan kluster adalah sebanyak 651 manakala kluster yang telah tamat berjumlah 359 termasuk tiga hari ini iaitu Kluster Bayam Indah, Kluster Tapak Bina Jesselton dan Kluster Andalas.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau sebanyak 292 dan daripada jumlah itu, 86 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini, katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata terdapat 240 kes positif Covid-19 di Unit Rawatan Rapi dan 93 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. -Bernama