Covid-19: Sarawak terus kesan kontak rapat secara agresif

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak akan meneruskan pengesanan kontak rapat secara agresif khususnya bagi Kluster Pasai di Sibu. Gambar hiasan.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak akan meneruskan pengesanan kontak rapat secara agresif khususnya bagi Kluster Pasai di Sibu. Gambar hiasan.
A
A
A

KUCHING - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak akan meneruskan pengesanan kontak rapat secara agresif khususnya bagi Kluster Pasai di Sibu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Jumaat.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri I Sarawak berkata kontak rapat yang telah dikenal pasti menerusi pengesanan ini seterusnya akan disaring sama ada mempunyai gejala atau tidak Covid-19.

“Sudah pasti apabila jumlah yang positif semakin menaik di Sibu, kami berdepan isu kapasiti pusat kuarantin tetapi kami telah bersedia dengan jumlah hotel dan lokasi yang akan dijadikan pusat kuarantin serta persiapan telah dijalankan untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

“Begitu juga di Miri, kami telah mengenal pasti beberapa pangsapuri servis selain hotel untuk dijadikan pusat kuarantin,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Uggah berkata dari aspek kapasiti ujian saringan harian yang dilakukan, JKN Sarawak akan menerima bantuan makmal swasta sekali gus dapat meningkatkan jumlah saringan harian yang ketika ini diuruskan keseluruhannya oleh jabatan itu.

“Objektif kami adalah untuk memastikan setiap keputusan ujian saringan Covid-19 akan diperoleh dalam masa 24 jam. Pada masa ini, terdapat juga ujian saringan yang mengambil masa sehingga 36 jam untuk mendapat keputusan,” katanya.

Terdapat 60 kes positif Covid-19 yang dikesan di Sarawak hari ini iaitu masing-masing di Sibu sebanyak 43 kes; Miri (10); Kuching (lima) dan Kanowit (dua) menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 1,980 kes.

Kluster Pasai di Sibu terus menjadi penyumbang terbesar hari ini dengan penambahan sebanyak 48 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes dari kluster itu sahaja meningkat kepada 510. - Bernama

Artikel Berkaitan: