Solat Jumaat, fardu dibenarkan tidak lebih 12 orang di Kelantan

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Kelantan membenarkan solat Jumaat dan fardu di masjid-masjid dengan tidak melebihi 12 jemaah dalam satu masa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKP) di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah berkenaan membabitkan imam tua, imam muda, bilal, siak serta ahli jawatankuasa masjid.

Bagi surau dan surau pula, katanya, bilangan jemaah tidak melebihi lima orang yang terdiri daripada imam, bilal dan tiga ahli jemaah.

“Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah mengampuni perkenan agar pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu dilaksanakan secara terkawal sebagai langkah membendung penularan virus Covid-19 di negeri Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tengku Mohamad Rizam juga memaklumkan bahawa ahli jawatankuasa yang berumur 70 tahun ke atas dan individu bergejala tidak dibenarkan hadir ke masjid.

Tambah beliau, individu yang hadir perlu memakai pelitup muka, merekodkan kehadiran pemeriksaan suhu badan dan memastikan pematuhan penjarakan satu meter semasa solat.

“Selain itu membawa sejadah sendiri, para jemaah juga diingatkan untuk mengambil wuduk di rumah masing-masing terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata, imam-iman juga diminta untuk membaca zikir-zikir sebagaimana yang dilampirkan dan solat diselesaikan dalam tempoh 20 minit setelah azan solat Jumaat.

Artikel Berkaitan:

“Semua pihak termasuk pengurusan masjid atau surau perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP. MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini.

“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa ALLAH SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya.