Bebaskan banduan berkelayakan tangani kesesakan penjara: KRPPM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) menyeru kerajaan untuk bertindak segera dalam menangani isu kesesakan penjara dan tempat tahanan di negara ini.

KRPPM dalam satu kenyataan media pada Khamis memberitahu, ia sebagai langkah awal untuk menangani penambahan kes Covid-19 melibatkan kluster penjara selaras dengan visi dan agenda pembaharuan Jabatan Penjara.

"Penularan wabak yang tidak terkawal di penjara dan tempat tahanan bukan sahaja mengancam banduan, tetapi turut mendedahkan risiko kepada pegawai penjara, keluarga mereka dan penduduk yang tinggal berhampiran.

"Oleh itu, pembebasan segera banduan yang berkelayakan dan berkelakuan baik merupakan langkah penting untuk menangani penambahan kes dalam kluster penjara dan kluster komuniti yang berkenaan," katanya.

Menurut KRPPM, Ketua Pengarah Penjara juga pernah menyatakan masalah kesesakan penjara sejak Oktober tahun lalu dan mencadangkan banduan yang menjalani hukuman kurang daripada setahun dibebaskan segera.

"Berdasarkan itu, hampir 11,018 orang banduan dalam kategori kesalahan ringan, layak untuk dibebaskan awal dan tindakan ini jika dilaksanakan akan mengurangkan kesesakan penjara secara ketara.

"Namun sehingga hari ini, jumlah sebenar banduan yang telah dibebaskan (jika ada) masih tidak dapat dikenal pasti," katanya.

Tambahnya, setiap usaha untuk mengurangkan kesesakan penjara perlu dilakukan bersama dengan sokongan peruntukan yang secukupnya dan usaha integrasi semula banduan dalam masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sistem sokongan berkaitan dengan urusan perumahan (rumah sementara), makanan, pekerjaan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan perlu disediakan.

"Pihak Eksekutif yang kini mempunyai kuasa mengawal dan bertanggungjawab sepenuhnya digesa untuk menyegerakan penyelarasan antara kementerian dan agensi kerajaan berkaitan, pakar kesihatan awam dan wakil masyarakat sivil untuk menjalinkan kerjasama dan memberi sokongan kepada Jabatan Penjara dalam melaksanakan Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) dengan melaksanakan program integrasi semula banduan dan masyarakat berdasarkan fakta (evidence-based).

"Malaysia ketinggalan jauh berbanding 50 negara lain dalam melaksanakan pembebasan awal dan integrasi semula banduan bersama masyarakat bagi mengurangkan kesesakan penjara ketika pandemik Covid-19," katanya.

Justeru katanya, tidak ada lagi alasan untuk melengahkan tindakan segera ini.

Kenyataan akhbar KRPPM itu turut disokong lapan ahlinya termasuk Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman, Senator Liew Chin Tong dari DAP dan Senator Datuk Seri Vell Paari dari MIC.