Menteri Thailand cadang kuarantin sambil main golf

Pelancong asing boleh menghabiskan tempoh kuarantin selama dua minggu di resort terbabit dan dibenarkan bergerak di sekitar kawasan itu selain boleh bermain golf. - Foto Agensi
Pelancong asing boleh menghabiskan tempoh kuarantin selama dua minggu di resort terbabit dan dibenarkan bergerak di sekitar kawasan itu selain boleh bermain golf. - Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK - Menteri Pelancongan Thailand pada Isnin menyuarakan cadangan untuk membenarkan warga asing menjalani tempoh kuarantin di resort golf di negara itu untuk meningkatkan sektor pelancongan ketika musim pandemik Covid-19.

"Kita sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan Awam dan pasukan petugas Covid-19 untuk menawarkan 'pakej' tersebut yang akan disertakan bersama sijil perubatan," kata Phiphat Ratchakitprakarn.

Menurutnya, pelancong asing boleh menghabiskan tempoh kuarantin selama dua minggu di resort terbabit dan dibenarkan bergerak di sekitar kawasan itu selain boleh bermain golf.

Rancangan yang masih perlu mendapat kelulusan Kabinet itu disuarakan ketika negara tersebut kini bergelut dengan gelombang kedua jangkitan selepas ia berjaya mengawal penularan dalam kalangan komuniti selama beberapa bulan.

Negara itu hanya merekodkan 10,547 kes jangkitan dan 67 kematian walaupun beberapa kluster baharu muncul pada bulan lalu hingga menyaksikan lonjakan ratusan kes jangkitan baharu sehari.

Pada 2019, Thailand menarik kunjungan 40 juta pelancong yang memberi pulangan 1.91 trilion baht (RM257 bilion) kepada negara itu sebelum sektor pelancongan terjejas teruk akibat penutupan sempadan bagi membendung wabak tersebut.

Tahun lalu, skim visa khas turut dilancarkan untuk pelancong yang berhasrat untuk tinggal bagi tempoh yang lama dan berjaya menarik minat kira-kira 1,000 pelancong asing. - Agensi

Artikel Berkaitan: