'Bukan masa sesuai untuk Zahid kembali'

Muhammad Yusoff Mohd Noor
A
A

SUNGAI DUA - 'Bukan masa sesuai, itu antara reaksi Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Muhammad Yusoff Mohd Noor mengenai hasrat Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali semula memimpin Umno.

Sebaliknya, Presiden Umno itu diminta untuk menunggu seketika sehingga semuanya berjalan dengan lancar.

Muhammad Yusuff berkata apa yang disuarakan itu bukan bermakna tidak menyanjungi Zahid selaku Presiden sebaliknya melihatkan momentum sokongan kepada Umno yang dilihat semakin mendapat tempat di hati rakyat pada ketika ini.

"Kita lihat Datuk Seri Mohamad Hassan mampu menjalankan tugas Presiden Umno dengan baik dan strateginya dilihat cukup berkesan.

"Boleh Ahmad Zahid mahu kembali, namun dalam keadaan sekarang biarlah semuanya berjalan dengan lancar dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat Umno Bahagian Tasek Gelugor di sini semalam.

Katanya, seperti yang kita sedia maklum, Umno sememangnya perlukan perubahan dan tidak seperti dahulu yang mana pelbagai impak negatif berlaku.

"Sebaiknya, Ahmad Zahid diminta menumpukan terlebih dahulu mengenai urusannya, sebelum ini pun kita sedia maklum ada tekanan untuk beliau berehat seketika, dan akar umbi tidak ada masalah bila beliau mengumumkan untuk bercuti seketika.

"Bila beliau serahkan kepada Tok Mat untuk jalankan tugas-tugas Presiden, kita lihat sokongan semakin baik di kalangan masyarakat, banyak perkara positif berlaku.

"Dan strategi Tok Mat dalam mengukuhkan Umno-BN ternyata berkesan apabila BN memenangi PRK Cameron Higlands," katanya.

Tegasnya, pihaknya bukan bermaksud menolak Zahid sebaliknya Zahid diminta bertenang buat seketika.

"Kita tak tolak Zahid untuk pegang jawatan sebab dia bila-bila masa boleh, cuma dalam senario sekarang, kita minta bagi tenang dahulu.

"Dan apa yang terbaik adalah kita bagi masa kepada Tok Mat laksanakan strategi pengukuhan parti sehingga selesai," katanya.

Dalam pada itu, mengungkap mengenai sokongan masyarakat kepada Umno, katanya sebagai sebuah parti lama, sokongan kepada Umno dari akar umbi tidak pernah berubah.

"Gelombang sokongan kepada Umno daripada akar umbi tidak pernah tersasar, kecuali kepimpinan Umno yang mana ada yang mengambil keputusan meninggalkan Umno.

"Namun ia sebenarnya adalah satu hikmah di mana Umno dibarisi kepimpinan yang sayangkan parti dan ambil berat tentang n rakyat," katanya.