X

Kindly register in order to view this article
!

PKP 2.0 libatkan enam negeri mulai 13 Januari

Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bermula 13 Januari
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021.

Arahan tersebut melibatkan enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Sementara itu, PKP Bersyarat (PKPB) ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

PKP Pemulihan (PKPP) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambah beliau, tahap keupayaan perkhidmatan kesihatan di negeri terbabit telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

"KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat," katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen pada Isnin.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko oleh KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pelbagai kementerian, agensi serta nasihat pakar-pakar kesihatan awam di dalam negara.

"Kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa satu tindakan yang tegas perlu diambil untuk memutuskan rantaian jangkitan penularan virus Covid-19," ujarnya.

Muhyiddin berkata, dalam menangani pandemik Covid-19 ini, amat penting bagi mana-mana negara untuk mengelakkan insiden peningkatan kes yang mendadak dalam tempoh masa yang singkat.

"Peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata. Ia tidak lagi mampu untuk menampung jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dan kes-kes kematian akan terus meningkat.

"Tidak mudah untuk saya mengatakan semua ini tetapi inilah realiti yang berlaku sekarang dengan berbagai kemungkinan yang terpaksa kita hadapi sekiranya dibiarkan berlarutan tanpa sebarang campur tangan atau intervensi kesihatan awam yang lebih ketat," jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!