Mesin pengimbas di pintu masuk Sabah , tangani sindiket dadah

No Image Caption
A
A
A

TAWAU - Kerajaan membekalkan tujuh mesin pengimbas untuk kegunaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Sabah akan membolehkan jabatan tersebut menangani sindiket dadah yang menyeludup bahan terlarang itu melalui pelabuhan serta lapangan terbang di negeri itu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Madrim Tasan berkata mesin itu diyakini dapat mengimbas barang penyeludupan secara lebih efisyen.

"Kita tidak dapat nafikan, tidak semua kita ada ilmu mengenal pasti (penyeludupan) dan penyeludup ini juga bijak mencari ruang dan peluang, sebab itu kerajaan mengambil langkah membeli mesin ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya, pembelian mesin tersebut masih dalam peringkat proses perolehan.

Dalam pada itu, Madrim berkata kerjasama antara Kastam Sabah dan pihak berkuasa Indonesia terus dipertingkat bagi membanteras jenayah penyeludupan seperti dadah ke negeri ini.

“Kerjasama dua negara terus ditingkatkan dengan kita mengadakan operasi bersama terutama dengan Indonesia,” katanya turut mengakui kebijaksanaan penyeludup untuk menyeludup barang di tempat yang tidak disangkakan.

Sementara itu, katanya trend penjualan terbuka barangan seludup seperti rokok seludup di negeri ini berkurangan berdasarkan risikan serta operasi dan rampasan yang dilakukan.

Katanya lagi, sejak 2 Jan lalu sehingga kini sebanyak 55 kes rampasan dan tangkapan membabitkan rokok serta minuman keras seludup berjaya ditumpaskan Kastam negeri.

Artikel Berkaitan:

"Jabatan menitikberatkan pembanterasan rokok dan minuman keras seludup kerana ini melibatkan ketirisan hasil negara,” katanya lagi.

Dalam isu berasingan, Madrim berkata Anggota JKDM dari Unit Penguatkuasaan menahan seorang lelaki warga Filipina serta merampas pelbagai jenis rokok seludup dengan nilai cukai tidak berbayar RM786,000 di Kampung Bubul Laut di Semporna pada 1 Jan lalu.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, sebuah rumah diserbu dan suspek berusia 36 tahun sedang mengangkat bungkusan rokok jenama dari Indonesia.

"Lelaki tersebut mengaku bertanggungjawab terhadap pemilikan barang kes," katanya dan kejayaan penangkapan serta rampasan itu hasil risikan lebih seminggu oleh cawangan risikan Kastam. - Bernama