Bayi 50 hari cedera diserang kera liar

Mangsa diletakkan di atas tilam sementara ibunya membancuh susu untuknya di dapur. Mangsa turut cedera di bahagian perut.
Mangsa diletakkan di atas tilam sementara ibunya membancuh susu untuknya di dapur. Mangsa turut cedera di bahagian perut.
A
A
A
BUTTERWORTH - [DIKEMASKINI] Seorang bayi lelaki berusia 50 hari cedera di bahagian kepala, perut dan pipi selepas diserang dan digigit seekor kera liar di rumah keluarganya di Kampung Manggis, Sungai Puyu, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku pada jam 6.21 petang di ketika bayi tersebut ditinggalkan ibunya sendirian di ruang tamu untuk membancuh susu bayi itu di dapur.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa yang baru tidur di atas tilam dan hanya memakai lampin pakai buang serta baju sahaja.

"Hasil siasatan, rumah jenis kampung tersebut didiami oleh lima beranak iaitu mangsa, nenek, ibu, bapa serta bapa saudaranya. Bagaimanapun, ketika kejadian, nenek mangsa sedang memasak di dapur manakala bapanya ke kedai dan bapa saudara bayi tersebut tiada di rumah.

"Semasa insiden tersebut, pintu rumah dan semua tingkap (jenis nako) juga ditutup rapat. Ibunya yang terkejut selepas terdengar mangsa menangis kuat bergegas ke ruang tamu lalu mendapati mangsa berlumuran darah dan terbaring di atas lantai simen," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Tambahnya, mangsa ditemui ibunya kira-kira satu meter daripada tilamnya manakala seekor kera jantan berada tidak jauh daripada mangsa.

"Kera tersebut terus melarikan diri selepas ibu mangsa datang menyelamatkannya. Mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan.

"Bagaimanapun, bayi itu dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam 10 malam (hari sama) dan menjalani pembedahan kecil di bahagian perut selain dijahit di beberapa bahagian yang digigit haiwan itu pada pagi Ahad," katanya.

Noorzainy berkata, hasil keterangan doktor, mangsa tidak mengalami kecederaan pada ususnya yang mana, pembedahan tersebut hanya untuk mencantumkan bahagian kulit perut yang koyak.
Artikel Berkaitan:


"Mangsa masih dirawat di HPP dan dilaporkan stabil. Dia masih dibawah pemantauan doktor dan akan dirawat di wad dalam tempoh dua minggu lagi.

Terkini, Noorzainy berkata, haiwan liar tersebut telah ditembak mati dalam operasi polis bersama Jabatan Perhilitan pada jam 11.30 pagi Isnin.

"Siasatan awal mendapati, kera jantan berwarna hitam itu bersaiz besar serta berbulu agak panjang. Ia bergerak sendirian dan sering berada di kawasan rumah keluarga mangsa serta jiran di situ," katanya.

Jelasnya, kejadian itu merupakan serangan pertama haiwan tersebut sehingga mendatangkan kecederaan kepada manusia.

"Sebelum ini, kera itu sering berdengus menunjukkan garangnya kepada kanak-kanak serta orang tua yang bermain di luar rumah. Haiwan itu juga sering menyelongkar peralatan periuk belanga di dapur, dipercayai kelaparan.

"Setakat ini penduduk tidak membuat laporan kepada mana-mana pihak dan bertindak menghalaunya sahaja. Susulan kejadian itu, polis telah membuat aduan kepada Jabatan Perhilitan untuk menangkap haiwan berkenaan," katanya.