Proklamasi darurat solusi terbaik akhiri drama politik?

Kedudukan terkini jumlah ahli Parlimen yang menyokong kerajaan, pembangkang dan berkecuali.
Kedudukan terkini jumlah ahli Parlimen yang menyokong kerajaan, pembangkang dan berkecuali.
A
A
A

APABILA Yang di-Pertuan Agong, buat pertama kali dalam sejarah penubuhan negara, mengenepikan nasihat Kabinet dalam menentukan pelaksanaan darurat pada 25 Oktober tahun lalu, seluruh negara bersorak gembira.

Ramai pihak melihat permohonan proklamasi darurat dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada ketika itu, hanya sekadar mahu mengekalkan kuasa politik kerajaan PN dan bukan atas kepentingan rakyat.

Seluruh negara maklum isu ketidakstabilan politik negara tidak pernah reda dengan Muhyiddin terus berdepan tekanan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebahagian pemimpin UMNO sejak memegang tampuk pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) lagi.

Usaha menjatuhkan kerajaan PN oleh sebilangan pemimpin UMNO dilihat semakin diperhebat daripada semasa ke semasa dengan terkini, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah untuk menarik sokongan kepada kerajaan PN.

Pendirian terkini Ahmad Jazlan jelas menjadikan kedudukan kerajaan PN semakin goyah apabila tidak lagi memiliki sokongan majoriti 112 ahli Parlimen yang diperlukan, sebagaimana dijelaskan menerusi Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan senario politik terkini, kemungkinan besar pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan berlaku pada saat negara berdepan dua bencana berganda iaitu pandemik Covid-19 yang semakin parah serta banjir besar yang melanda beberapa negeri ketika ini.

Persoalannya, adakah menyegerakan pelaksanaan PRU15 adalah solusi terbaik ataupun sudah tiba masanya pelaksanaan darurat dipertimbangkan semula Yang di-Pertuan Agong?

Berdasarkan status kedudukan terkini, secara teorinya, kerajaan PN masih dianggap wujud meskipun daripada sudut angka, Muhyiddin sudah tidak mempunyai sokongan majoriti 112 ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peruntukan Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan Muhyiddin selaku Perdana Menteri, tidak boleh dipecat serta-merta.

"Berdasarkan situasi semasa, langkah paling tepat adalah Muhyiddin perlu memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong secepat mungkin bagi memberi ruang Seri Paduka Baginda membuat pertimbangan wajar demi masa hadapan negara.

"Ada kemungkinan Seri Paduka boleh melantik Muhyiddin kembali sebagai Perdana Menteri interim, lebih-lebih sekarang ini pihak pembangkang pun tiada sokongan majoriti dan terpulang kepada beliau untuk menubuhkan bentuk kerajaan baharu sekiranya diperlukan," kata penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub pada Ahad.

Bagaimanapun, Mohammad Tawfik berpandangan solusi terbaik ketika ini adalah Yang di-Pertuan Agong memperkenankan usul menggantung sidang Dewan Rakyat yang dijangka diadakan pada bulan Mac atau April nanti.

Selain itu, beliau mengakui sudah tiba masanya rakyat menyedari keperluan negara melaksanakan perintah darurat kesihatan dan bencana di seluruh negara pada saat Malaysia berdepan situasi bencana berganda yang meruncing.

"Amat penting pada saat ini kerajaan sedia ada, sama ada dalam bentuk kerajaan perpaduan atau kekal sebagai kerajaan PN, diberi ruang bergerak tanpa diancam percaturan elit politik yang kita sendiri pun tidak tahu kecenderungan mereka ke arah mana," katanya.

Sentimen sama dipersetujui Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman yang mendakwa pemimpin UMNO daripada 'kluster mahkamah' yang menjadi punca perpaduan parti-parti Melayu melalui kerajaan PN, hampir gagal.

Jelas beliau, sekiranya pelaksanaan darurat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, ia jelas disebabkan pemimpin kluster mahkamah dan penyokongnya tidak menghiraukan nasihat Seri Paduka yang menitahkan sebarang usaha politiking dihentikan ketika ini.

"Tanpa mempedulikan isu pandemik Covid-19 semakin serius serta banjir besar yang menenggelamkan beberapa negeri, kluster mahkamah ini seolah-olah terdesak mendapat kuasa sehingga tidak menghiraukan nasihat rakan mereka dalam Muafakat Nasional sendiri, Pas.

"Bagi saya, sudah tiba masanya proklamasi darurat dilaksanakan untuk menghentikan drama politik gila kuasa dengan memberi ruang kerajaan fokus menjaga kebajikan rakyat," katanya.

Bagaimanapun, terdapat pandangan berbeza yang menganggap kerajaan Muhyiddin sekarang bukan majoriti mahupun minoriti, mengambil kira bilangan dua kerusi Parlimen yang dikosongkan setelah penyandangnya meninggal dunia sebelum ini.

"Kalau mahu menjatuhkan Muhyiddin secara pengisytiharan berkanun, Agong boleh menuntut kewujudan kerajaan alternatif. Tetapi selagi UMNO masih gagal bergabung dengan PH, Muhyiddin akan tetap kekal berkuasa sungguhpun kerajaan menjadi minoriti dan lemah," ujar saintis politik veteran, Profesor Dr Wong Chin Huat.

Chin Huat juga tidak bersetuju dengan cadangan pelaksanaan darurat sekiranya inisiatif itu dirancang untuk dilaksanakan kerajaan PN.

"Pelaksanaan darurat akan menghantar isyarat bahawa Malaysia tidak stabil untuk pelaburan, rating kredit kita akan semakin jatuh dan rakyat akan menjadi lebih susah.

"Jika Muhyiddin mahu terus kekal sebagai Perdana Menteri, satu lagi cara terbaik adalah berunding dengan mana-mana parti pembangkang untuk mendapatkan sokongan melalui perjanjian kepercayaan dan perbekalan (confidence and supply vote)," jelas beliau.

Bagi Ahli Parlimen Tanjung Karang daripada UMNO, Tan Sri Noh Omar pula, beliau tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi ahli Parlimen parti yang akan menarik sokongan kepada kerajaan PN dalam masa terdekat.

"Bagi saya, kerajaan PN masih dianggap ada majoriti. Bila Ahmad Jazlan dan Ku Li (Tengku Razaleigh) tarik diri (menyokong kerajaan PN), mereka bersikap berkecuali dan tidak menyokong blok pembangkang.

"Saya rasa mungkin ada ramai lagi (bakal tarik sokongan kepada kerajaan PN)...itu hak individu. Saya sendiri bersama ahli-ahli Parlimen UMNO yang lain lebih suka menunggu keputusan mandat daripada parti yang akan diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO, 31 Januari ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa pucuk kepimpinan parti mengemukakan pendirian parti secara terbuka sama ada mahu kekal menyokong PN atau sebaliknya.

"Saya juga berpandangan kerajaan sekarang masih boleh diteruskan memandangkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini sudah memutuskan untuk meneruskan sokongan kepada kerajaan PN selain mengulangi pendirian 'No Anwar, No DAP'.

"Cuma kami akan ikut keputusan parti sekiranya ada pendirian terbaru dibuat...parti kena keluarkan kenyataanlah," tegas beliau kepada Sinar Harian pada Ahad.

Ditanya sama ada langkah pelaksanaan darurat adalah wajar pada saat negara berdepan bencana berganda, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau menegaskan beliau tidak pasti mengenai kesesuaian cadangan itu.

"Tetapi dalam konteks sekarang, dengan masalah Covid-19 dan banjir besar, Agong pastinya mahu kerajaan tumpu isu bencana dahulu berbanding isu politik," katanya.