'Kita hadapi masalah katil jika kes Covid-19 8,000 sehari'

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditemui pada majlis penyerahan barang bantuan banjir kepada wakil pemimpin tempatan di Dewan Hamid Bidin Kem Pengkalan Chepa di sini hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditemui pada majlis penyerahan barang bantuan banjir kepada wakil pemimpin tempatan di Dewan Hamid Bidin Kem Pengkalan Chepa di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Jumlah katil untuk menempatkan pesakit Covid-19 tidak akan mencukupi sekiranya kes harian Covid-19 mencecah sehingga 5,000 atau 8,000 dan amat sukar kerajaan mengatasi masalah berkenaan.

Menteri Pertahanan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimana pun setakat ini kemudahan katil yang ada masih boleh menampung jumlah pesakit Covid-19.

“Sebagaimana disebut oleh Ketua Pengarah Kesihatan sendiri bahawa ada kebimbangan dari segi katil. Kita takut katil tidak mencukupi.

ARTIKEL BERKAITAN: KP Kesihatan bimbang kes kematian akibat Covid-19 meningkat

“Itu yang membimbangkan walaupun kes harian dah mencecah 2,000 atau 3,000, tapi kalau 5,000 atau 8,000 sehari memang agak sukar untuk tampung keperluan tersebut. Tapi belum sampai ke tahap itu lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Barang Bantuan Kepada Mangsa Banjir Negeri Kelantan oleh Menteri Pertahanan di Kem Pengkalan Chepa pada Ahad.

Hadir sama, Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima 8 Briged, Zamsari Abu Hasan dan wakil pemimpin tempatan, Akbar Salim.

Tegas Ismail Sabri, sebelum pandemik Covid-19 di negara ini berada pada tahap yang membimbangkan seperti itu, maka semua pihak kena bertanggungjawab untuk memastikan keadaan tersebut tidak berlaku.

“Kalau rakyat bekerjasama membantu kerajaan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP), insyaALLAH kita mampu untuk melandaikan graf jangkitan.

Artikel Berkaitan:

“Paling penting kerjasama daripada rakyat. Kalau kita tidak bekerjasama, tak ikut SOP dan sebagainya, tidak mustahil kes akan terus meningkat," katanya.