Kerajaan digesa lakukan saringan Covid-19 besar-besaran

Kenyataan akhbar oleh empat bekas ahli Kabinet berhubung Covid-19 yang dikeluarkan pada Jumaat.
Kenyataan akhbar oleh empat bekas ahli Kabinet berhubung Covid-19 yang dikeluarkan pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya melakukan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran dengan segera bagi membolehkan pengasingan awal dapat dilakukan dan mencegah penyebaran daripada menjadi tidak terkawal.

Dalam satu kenyataan bersama oleh bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama tiga rakannya yang juga merupakan bekas Menteri berkata, langkah berkenaan amat penting memandangkan begitu banyak kes positif Covid-19 iaitu sebanyak 80 peratus tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Kami percaya kerajaan perlu mempertimbangkan pandangan ramai pakar perubatan supaya melakukan ujian saringan secara besar-besaran.

“Bermula dengan semua kawasan yang berisiko tinggi seperti asrama tempat tinggal pekerja asing, penjara dan penduduk yang tinggal berdekatan dengan mereka,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Turut bersama dalam kenyataan itu adalah bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye; Bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dan bekas Timbalannya, Isnaraissah Munirah Majilis.

Menurut mereka, kerajaan dilihat mempunyai kemampuan daripada segi tanggungan kos dan kapasiti melakukan ujian Covid-19 sekiranya mahu melaksanakan langkah dicadangkan itu khususnya pada kawasan yang disasarkan.

“Merujuk kepada jawapan Parlimen, kerajaan berkemampuan melakukan ujian saringan PCR sebanyak 19,489 sehari yang terbahagi kepada 16,670 ujian saringan di bawah Kementerian Kesihatan dan 2,819 ujian saringan di bawah Kementerian Pertahanan.

“Sementara itu, sektor swasta mampu melakukan sehingga 59,485 ujian saringan sehari. Ini menunjukkan kapasiti negara untuk ujian saringan PCR adalah sebanyak hampir 80,000 sehari.

Artikel Berkaitan:

“Namun jika kita mempertikaikan kos ujian saringan ini yang terlalu tinggi, kita boleh menggunakan ujian saringan Antigen RTK kerana ia lebih murah dan cepat, dan dikatakan lebih sesuai untuk ujian saringan secara besar-besaran,” katanya.

Meskipun langkah tersebut akan menyumbang kepada peningkatan pengesanan kes Covid-19 buat sementara waktu, namun, mereka berpandangan ketika ini bukanlah waktu yang sesuai untuk menyembunyikan masalah sebenar dihadapi negara.

“Kita mesti berdepan dengannya, cari semua kes positif di kalangan kita dan asingkannya.

“Kerajaan mesti membuat pelaburan dengan melakukan ujian saringan besar-besaran hari ini kerana harga kemanusiaan dan nilai ekonomi yang harus kita bayar kemudian, akan jauh lebih besar berbanding melakukan ujian saringan besar-besaran,” katanya.

Mengulas lanjut, mereka berkata, kerajaan perlu memanfaatkan kewujudan data dalam bidang epidemiologi bersama dengan kepintaran buatan (AI) dalam usaha mengenal pasti penyebaran Covid-19 dengan lebih berkesan.

Katanya, pengaplikasian kedua-dua aspek tersebut sangat penting bagi mengesan tahap risiko yang dicapai oleh masyarakat terutama berkaitan dengan kluster besar.

Selain itu, mereka juga meminta kerajaan supaya memperbaiki dan menambah baik keseluruhan sistem pengesanan kontak yang digunakan iaitu MySejahtera.

Jelasnya, terdapat keperluan untuk memperbaiki keseluruhan sistem pengesanan kontak iaitu MySejahtera yang dilaporkan hanya mampu mengesan empat peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia.

“Ini menunjukkan yang kerajaan masih lagi bergantung kepada pengesanan kontak secara manual iaitu dengan bertanya kepada pesakit positif siapa kontak rapat mereka dan kemudiannya melakukan ujian saringan.

“Ini juga menunjukkan kerajaan belum sepenuhnya atau tidak sama sekali memanfaatkan analisis data besar dengan menggunakan data yang dikumpulkan melalui MySejahtera dan digabungkan dengan data lain yang terdapat dalam sistem kerajaan dan data terbuka yang boleh dikaji.

“Sebagai contoh, post dengan metadata dan tag yang digunakan di media sosial dan sebagainya serta membangunkan kaedah terkini yang lebih canggih untuk mengesan kes positif dalam masyarakat,” katanya.