'Apa nak dimalukan, saya anggap ini ‘hadiah’ daripada ALLAH’

Dilahirkan dalam keadaan normal, namun selepas tamat persekolahan, wajah dan badannya mula ditumbuhi lebihan kulit berbiji sehingga kelihatan aneh bagi sesetengah orang.
Dilahirkan dalam keadaan normal, namun selepas tamat persekolahan, wajah dan badannya mula ditumbuhi lebihan kulit berbiji sehingga kelihatan aneh bagi sesetengah orang.
A
A
A

SEREMBAN - Dilahirkan dalam keadaan normal, namun selepas tamat persekolahan, wajah dan badannya mula ditumbuhi lebihan kulit berbiji sehingga kelihatan aneh bagi sesetengah orang.

Namun, Wan Noor Azaziah Wan Aziz, 40, sedikit pun tidak pernah berasa malu dengan kelainan yang ada pada dirinya, malah menganggapnya sebagai ‘hadiah’ daripada ALLAH.

Menurutnya, keadaan dirinya itu bukan halangan untuknya bebas menjalani kehidupan seperti orang lain.

"Tiada sebab saya nak berkurung di rumah dan saya suka pergi ke majlis ilmu kerana pada masa sama dapat bergaul dengan ramai orang.

Kak Noor ketika wajahnya masih belum banyak tumbuh lebihan kulit berbiji.
Kak Noor ketika wajahnya masih belum banyak tumbuh lebihan kulit berbiji.

"Ada yang tanya, saya tak malu ke? Saya jawab, apa yang saya nak malukan kerana ujian ini hadiah daripada ALLAH supaya saya tidak lupa diri," katanya kepada Sinar Harian.

Menceritakan bagaimana keadaan itu bermula, wanita yang mesra dipanggil Kak Noor itu berkata, pada awalnya lebihan kulit berkenaan hanya sedikit sebelum merebak ke seluruh wajah dan badannya.

“Saya dilahirkan dalam keadaan normal, tetapi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2003, di bahagian muka saya mula tumbuh lebihan kulit berbiji.

Artikel Berkaitan:

“Ia tidak sakit, tetapi lama-kelamaan semakin banyak. Apabila pergi ke hospital, doktor memberitahu saya sudah terlambat untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Anak kedua daripada 10 beradik itu berkata, sejak itu, dia tidak lagi cuba mendapatkan rawatan lanjut di tempat lain, sebaliknya mula belajar menerima takdir tersebut dengan reda.

Kak Noor (kiri) bersama adik beradik dan Ibu bapanya.
Kak Noor (kiri) bersama adik beradik dan Ibu bapanya.

Tambahnya, dalam keluarganya, dia seorang sahaja yang mengalami masalah berkenaan, namun bersyukur kerana tidak pernah dipinggirkan.

"Ada juga doktor yang kata saya hidap penyakit ini disebabkan nenek moyang saya alami penyakit sama.

"Tapi bila saya tanya emak dan ayah, tiada sesiapa pun dalam keluarga kami mengalaminya. Yang kelakarnya ada yang kata mungkin saya terlanggar pantang," katanya.

Kak Noor yang bekerja sebagai pembantu rumah di Putrajaya mengakui, sebagai manusia biasa, ada ketikanya dia mengeluh dengan ujian tersebut.

Namun, dia akan segera membuang jauh perasaan itu dan cuba untuk kekal positif.

“Ada je yang memandang saya pelik, tetapi tidaklah sampai mengejek. Mereka bertanya apa puncanya (ketumbuhan) itu.

“Kadang-kadang susah juga nak terangkan dan biasanya saya akan beritahu, ini hadiah daripada ALLAH dan saya pun dah bahagia dengan ujian ini,” katanya.

Selain itu ujarnya, kulitnya juga sangat sensitif dan akan berasa sakit apabila disentuh dengan kuat, selain tidak boleh berada di dalam bilik yang terlalu sejuk.

Disebabkan keadaannya itu, kata Kak Noor, ada majikan yang sukar mengambilnya bekerja kerana bimbang ia boleh dijangkiti.

"Tak perlulah risau. Penyakit saya ini tak berjangkit pun,"katanya.

Dalam pada itu, berkaitan soal jodoh, Kak Noor turut menyimpan hasrat untuk mendirikan rumah tangga dan membina keluarga seperti insan lain.

"Semua orang nak rasa bahagia dan ada keluarga sendiri. Tapi saya fikir, saya dah bahagia dengan kehidupan saya begini.

“Ikutkan, ada seorang lelaki yang mengajak berkahwin dan bermadu dengan isterinya. Tapi saya tidak terima pun walaupun saya memang mahu berkahwin,” katanya.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!