3,071 pengedar dadah diberkas tahun lalu

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah memberkas 3,071 pengedar dadah tahun lalu berbanding 3,218 yang diberkas pada tahun 2019.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, jumlah itu sebahagian daripada keseluruhan 10,192 tangkapan dilakukan sepanjang tahun lalu berbanding 10,796 pada 2019.

Menurutnya, walaupun trend menunjukkan penurunan bagi keseluruhan kes berbanding tahun sebelumnya, jumlah itu masih tinggi.

“Secara keseluruhan, jumlah tangkapan berlaku penurunan 5.6 peratus. Manakala penurunan kes 4.6 peratus iaitu 8,636 kes pada 2019 menurun kepada 8,239 kes pada tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan PDRM kontinjen Kedah yang pertama di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) di sini pada Selasa.

Hasanuddin berkata, pemeriksaan yang dilakukan tahun lalu mencecah 25,803 orang berbanding tahun sebelumnya seramai 25,501 orang.

“Walaupun ada sedikit penurunan, kita tetap teruskan intipan dan lakukan tangkapan secara berterusan. Di Kedah, aktiviti ini agak aktif. Setiap hari ada sahaja tangkapan kes dadah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya melancarkan gerakan ‘tiada hari tanpa tangkapan, tiada hari tanpa rampasan’ sebagai iltizam dalam meningkatkan operasi dan tangkapan bagi membanteras penagihan dadah dan dalang terlibat.

Hasanuddin (dua dari kanan) bersama ketua jabatan dan ketua polis daerah yang hadir perhimpunan bulanan PDRM kontinjen Kedah yang pertama di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar pada Selasa.
Hasanuddin (dua dari kanan) bersama ketua jabatan dan ketua polis daerah yang hadir perhimpunan bulanan PDRM kontinjen Kedah yang pertama di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

“Anggota sentiasa waspada dalam setiap operasi kerana sekiranya suspek yang ditahan didapati positif Covid-19, semua anggota terlibat operasi perlu dikuarantin, namun ia bukan penghalang untuk kami kurangkan operasi,” katanya.

Hasanuddin turut mengarahkan ketua jabatan dan ketua polis daerah untuk meningkatkan tangkapan, rampasan serta pendakwaan bagi mengekang segala bentuk jenayah dan penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, beliau mengumumkan kadar kes jenayah di Kedah mencatatkan penurunan 26.48 peratus sepanjang tahun lalu.

“Kedah kini berada di tempat ketujuh dalam negara. Ini satu pencapaian memberangsangkan, hasil kerjasama semua pihak yang memainkan peranan untuk kekang jenayah di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Hasanuddin berkata, seramai 16 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah dikenakan tindakan buang kerja sepanjang tahun lalu yang melibatkan kes pelbagai kesalahan termasuk salah laku tatatertib, rasuah dan dadah.

Menurutnya, sebanyak 192 kertas siasatan pula dibuka membabitkan kes salah laku anggota sejak Januari hingga Disember 2020.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 109 kes disiasat di bawah kertas siasatan tatatertib, manakala 83 kes melibatkan kertas enkuiri tatatertib,” katanya