Dakwaan 'curi' ahli UMNO tuduhan tak berasas

Ahmad Ridhwan (tiga dari kanan) memegang laporan polis yang dibuat terhadap Noor Hariri di IPD Tanah Merah pada Isnin.
Ahmad Ridhwan (tiga dari kanan) memegang laporan polis yang dibuat terhadap Noor Hariri di IPD Tanah Merah pada Isnin.
A
A
A

TANAH MERAH - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Tanah Merah menyelar kenyataan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor yang mendakwa berlaku perbuatan 'curi dan beli' ahli UMNO.

Ketuanya, Ahmad Ridhwan Md Nordin berkata, dakwaan Noor Hariri yang mengatakan Armada Tanah Merah 'mencuri' ahli UMNO adalah satu tohmahan tanpa mengemukakan sebarang bukti.

"Apa yang dinyatakan Hariri itu sekadar untuk mencari publisiti murahan pada musim pemilihan parti mereka, walaupun terpaksa bercakap bohong dengan membuat pelbagai tuduhan kepada kami.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu didesak henti ‘curi’ dan ‘beli’ ahli UMNO

Tarik semula tuduhan Bersatu ‘curi’ dan ‘beli’ ahli UMNO: Saiful

Dakwaan curi, beli ahli ibarat bom jangka hancur kerjasama PN

"Kami melihat ini salah satu cara untuk dia menutup kelemahannya sebagai seorang ketua pemuda negeri kerana dua bahagian UMNO di negeri ini di bawah kendaliannya dikatakan berdepan masalah," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Terdahulu, Ahmad Ridhwan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah bagi membuat laporan polis terhadap Noor Hariri berhubung tuduhan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ketua Armada Bersatu Kelantan, Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz dan beberapa ahli jawatankuasa Armada Bersatu Tanah Merah.

Noor Hariri sebelum ini didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa ahli UMNO Tanah Merah ditawarkan habuan untuk menyertai Bersatu.

Sementara itu, Ahmad Ridhwan berkata, kenyataan Noor Hariri itu sebenarnya memperlihatkan bahawa ahli UMNO di Kelantan terlalu murah kerana boleh 'dibeli' dengan begitu mudah.

"Jika bercakap soal tikam belakang, siapa tikam siapa? Kita tengok ramai juga pemimpin UMNO dilantik sebagai menteri, timbalan menteri, pengerusi agensi dan sebagainya.

"Dia (Noor Hariri) sendiri makan gaji dengan menteri Bersatu. Kalau betul dia benci dan tidak suka sangat dengan Bersatu, jangan makan gaji dengan menteri Bersatu" katanya.

Untuk rekod, Noor Hariri merupakan pegawai tugas-tugas khas kepada Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.