X

Kindly register in order to view this article
!

Bersatu didesak henti ‘curi’ dan ‘beli’ ahli UMNO

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya berhenti daripada 'mencuri' dan 'membeli' ahli UMNO sekiranya mahu meneruskan kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa, Bersatu membayar sehingga RM100 kepada setiap ahli UMNO yang menyertai parti itu, malah cawangan yang ditubuhkan pula diberi peruntukan RM3,000 hingga RM5,000.

"Sejak beberapa bulan ini, banyak sekali aduan dan keresahan dalam kalangan ahli. Ada yang mengaku bahawa setiap yang menyertai Bersatu dibayar sehingga RM100, setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 hingga RM5,000," katanya menerusi satu hantaran Facebook beliau pada Sabtu.

Sementara itu, beliau berkata, kenyataan pimpinan tertinggi Bersatu berhubung perkara itu umpama seperti tiada rasa bersalah, bahkan mempertahankan kemasukan ahli UMNO ke dalam parti berkenaan atas dasar keterbukaan.

Malah, katanya, alasan UMNO dan Bersatu di bawah satu bumbung PN hanya akan menyebabkan hubungan kedua-dua parti itu makin meruncing dan membarah.

“Fenomena ‘curi’ dan ‘beli’ ahli UMNO jika diteruskan sebegini akan mengesahkan segala persepsi dan dakwaan selama ini bahawa matlamat Bersatu ditubuhkan dan gabungan besar parti PN diwujudkan hanyalah untuk melemahkan dan menggantikan UMNO.

“Seharusnya dalam suasana permuafakatan kerajaan yang terbentuk, dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencari titik persefahaman dan merungkai segala bentuk perbezaan termasuklah menghentikan sebarang usaha melemahkan antara satu sama lain demi agenda penyatuan lebih besar,” katanya.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi menasihati agar mengambil pengajaran sebagaimana runtuhnya kerjasama UMNO-Pas dalam Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu.

Menurut beliau, persaingan merebut ahli pada tahun 1974 hingga 1977 mengakibatkan terpisahnya dua parti terbesar orang Melayu sehingga melarat kepada persengketaan puluhan tahun.

“Daripada mengerahkan segala peruntukan dan sumber dana besar parti untuk menubuhkan cawangan, adalah lebih baik memanfaatkannya dengan penggemblengan parti-parti rakan kongsi seperti UMNO dan Pas untuk aktiviti bantu rakyat di peringkat akar umbi secara bersama.

“Apatah lagi hampir semua ahli Parlimen Bersatu ketika ini termasuk yang ‘lompat’ daripada UMNO berjawatan menteri dan timbalan menteri.

“Seharusnya fokus untuk digemblengkan segala sumber untuk bantu rakyat yang sedang susah dan resah memikirkan kelangsungan hidup dalam suasana pandemik ketika ini,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!