Muda, PSM tidak bertanding PRK Kuala Kubu Baharu

Amira (tengah) dan Arul (dua kanan) ditemui di Rumah Hitam Muda di Dataran Glomac, Kelana Jaya di sini pada Jumaat
Amira (tengah) dan Arul (dua kanan) ditemui di Rumah Hitam Muda di Dataran Glomac, Kelana Jaya di sini pada Jumaat
A
A
A

PETALING JAYA - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) sepakat memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini.

Perkara itu diputuskan bersama pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz dan Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan atau Arul di Rumah Hitam Muda di Dataran Glomac, Kelana Jaya di sini pada Jumaat.

Menurut mereka, keputusan itu diambil bagi membolehkan pengundi Kuala Kubu Baharu melaksanakan hak mengundi mereka dan mengemukakan referendum yang kuat terhadap prestasi Kerajaan Madani.

Keputusan itu, kata kedua-dua pemimpin terbabit, juga membolehkan pengundi di kawasan Kuala Kubu Baharu membuat keputusan memilih antara parti pemerintah penyandang dan parti pembangkang utama.

"Meskipun Muda-PSM tidak bertanding dalam PRK Kuala Kubu Baharu, Muda-PSM menggesa semua parti politik dan calon bertanding memenuhi aspirasi pengundi dan hasrat rakyat Malaysia.

"Antaranya, memerangi politik perkauman yang menggugat keharmonian rakyat; memperjuangkan hak rakyat berdasarkan penilaian keperluan dan bukan perkauman dan memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa," menurut mereka.

Selain itu, Muda dan PSM turut menggesa parti dan calon berkenaan dapat memperjuangkan keadilan kos sara hidup dan meningkatkan keselamatan sosial; memelihara dan memulihara alam sekitar serta menjamin hak demokratik rakyat.

Artikel Berkaitan:

Amira (enam kiri) dan Arul (lima kanan) bersama ahli parti Muda dan PSM
Amira (enam kiri) dan Arul (lima kanan) bersama ahli parti Muda dan PSM

"Muda dan PSM tekad untuk terus menjadi suara kepada rakyat Malaysia. Walaupun keputusan untuk tidak bertanding, ini tidak sesekali menjadi batu penghalang untuk suara rakyat menjadi perhatian utama Muda dan PSM," ujar mereka.

Menurut mereka, isu-isu penting seperti kos sara hidup yang tidak sepadan dengan gaji, perumahan yang menekan golongan B40, penjagaan kesihatan awam yang semakin sempit adalah antara fokus yang perlu disegerakan oleh Kerajaan Madani.

"Malah, Muda-PSM akan menggunakan tempoh berkempen sepanjang dua minggu PRK untuk melancarkan kempen-kempen rakyat.

"Muda dan PSM akan terus komited untuk terus mengutarakan keluh kesah rakyat di Kuala Kubu Baharu dan mengajak rakyat menggunakan hak demokratik mereka untuk memilih, menghukum dan memberi mesej yang jelas," tambah mereka.

Dalam pada itu, mereka turut menafikan Muda dan PSM tidak bertanding pada PRK Kuala Kubu Baharu selepas mengalami kekalahan dalam siri pilihan raya lalu sebalik akan terus bekerja dan sentiasa berada di lapangan memperjuangkan isu rakyat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!