Dakwaan curi, beli ahli ibarat bom jangka hancur kerjasama PN

Muzzammil Ismail
Muzzammil Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melakukan kegiatan 'curi dan beli' ahli UMNO ibarat bom jangka yang akan menghancurkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).

Bekas Exco Armada Bersatu, Muzzammil Ismail berkata, pemimpin muda UMNO itu jelas tidak sensitif apabila tidak menjaga tutur kata selaku pemimpin utama menyebabkan ahli akar umbi UMNO sendiri kecewa.

Menurutnya, ia juga menggambarkan sikap prejudis Asyraf Wajdi apabila mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

"Saya juga menerima reaksi daripada akar umbi ahli UMNO yang kecewa dengan kenyataan tersebut. Mereka merasakan seperti tidak dihargai apabila dinilai dengan RM100.

"Dakwaan itu juga tidak logik. Tiada istilah untuk membeli ahli kerana dalam satu perikatan, masing-masing menjaga kebajikan ahli masing-masing.

"Kenyataan tersebut menunjukkan ketidakmatangan UMNO setelah Bersatu sendiri telah banyak berkorban. Ini ibarat bom jangka, bila-bila masa saja PN boleh bercerai talak," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Muzzammil berkata demikian merujuk kepada kenyataan Asyraf Wajdi pada Sabtu bahawa wujud gerakan 'curi dan beli' ahli UMNO dengan setiap yang menyertai Bersatu dibayar sehingga RM100, manakala setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 sehingga RM5,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu didesak henti ‘curi’ dan ‘beli’ ahli UMNO

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muzammil yang juga Presiden Angkatan Baru Malaysia berkata, Asyraf Wajdi sepatutnya mengambil sikap lebih matang dengan mengemukakan bukti sekiranya benar apa yang didakwanya.

"Beliau kena berani kerana benar. Kemukakan senarai jika benar wujud dakwaan. Bersatu boleh semak dan jika benar berlaku, saya yakin biro disiplin akan ambil perhatian.

"Pada saya, paling mudah adalah masing-masing perlu jaga kebajikan ahli. Jika semuanya terjaga, insya-ALLAH tidak ada yang lari," katanya.