Detik sukar lihat ibu meninggal dunia akibat Covid-19

Anabel memegang erat tangan ibunya sebelum meninggal dunia dalam tempoh 24 jam. - Foto Metro.co.uk
Anabel memegang erat tangan ibunya sebelum meninggal dunia dalam tempoh 24 jam. - Foto Metro.co.uk
A
A
A

LONDON - Seorang anak tidak dapat menahan sebak apabila dimaklumkan oleh doktor bahawa ibunya hanya tinggal beberapa hari sahaja untuk hidup setelah mereka dijangkiti Covid-19.

Laporan Metro.co.uk memberitahu, dua beranak itu dikenali Anabel Sharma, 49, dan Maria Rico, 76, dimasukkan ke hospital pada pertengahan Oktober lalu sebelum ditempatkan di wad unit rawatan rapi (ICU) di London disebabkan kesukaran bernafas.

Dua minggu kemudian, pasangan berkenaan disatukan dalam bilik yang sama setelah melihat kesihatan Maria mengalami kemerosotan teruk.

Sebelum pemergian Maria, Anabel telah mengambil gambar terakhir mereka sambil berpegangan tangan di ICU.

Tanpa diduga, selepas 24 jam, Maria akhirnya meninggal dunia pada 1 November lalu.

Mengimbau kembali pengalaman itu, Anabel mengakui itu adalah memori paling sedih yang dirasainya kerana kehilangan ibu tersayang akibat Covid-19.

"Semasa di dalam ICU, kami tidak boleh berbual seperti biasa kerana masing-masing memakai peralatan oksigen. Jika membukanya, oksigen akan berada pada paras rendah, sekali gus menyukarkan untuk kami bernafas.

"Kami ada juga berbual tetapi menggunakan jururawat sebagai perantaraan," katanya pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Anabel yang menghidap asma menghabiskan lima minggu dalam rawatan intensif dan menyaksikan pengebumian ibunya melalui skrin layar dari biliknya.

Ibu kepada tiga anak itu telah berkongsi kisah duka berkenaan di laman sosial Facebook Humans of Covid-19 yang diwujudkan oleh seorang doktor London bernama Benji Rozen untuk meningkatkan kesedaran mengenai realiti wabak Covid-19 kepada masyarakat.

"Saya terpanggil untuk berkongsi kisah ini dengan orang ramai. Ia boleh dijadikan iktibar selain meningkatkan kesedaran betapa bahayanya Covid-19," katanya telah kembali pulih.