Ibu Ubai meninggal dunia

Ubai dan ibunya, Allahyarhamah Rohani Jamal
Ubai dan ibunya, Allahyarhamah Rohani Jamal
A
A
A

HASRAT ibu personaliti media sosial, Ubai iaitu Rohani Jamal untuk melihat anaknya diijab kabul dengan penyanyi, Shila Amzah tidak kesampaian apabila wanita itu meninggal dunia pada jam 6.45 petang tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya.

Berita duka itu dikongsikan sendiri oleh Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 25, dan Shila, menerusi akaun Instagram masing-masing.

“Hilangnya doa seorang ibu. Berat dugaan ini untuk Ubai, tapi Ubai reda. Berehatlah mak. Mak seorang ibu yang baik, semua orang senang dengan mak. Ubai ingat semua pesanan mak. Ubai tak pernah lupa.

“Terima kasih mak, sebab jadi tempat untuk Ubai mengadu, minta nasihat. Ubai janji akan jaga adik-adik semua,” coretnya.

Difahamkan jenazah akan dikebumikan malam ini di Petaling Jaya.

Ubai dan Shila mengikat tali pertunangan pada 27 Mei lalu dan difahamkan majlis mereka bakal berlangsung dalam masa seminggu lagi berdasarkan bayangan yang diberikan penyanyi berusia 32 tahun itu sebelum ini.

Shila dalam temu bual bersama media baru-baru ini memaklumkan masih menunggu masa sesuai untuk mengumumkan majlis pernikahan mereka memandangkan ibu Ubai masih dirawat di hospital akibat kanser ovari.

Ujar Shila ketika itu, ibu Ubai bersemangat untuk turut sama menyaksikan detik bersejarah mereka dan segala persiapan sudah dilakukan.