804 mangsa banjir di pusat pemindahan di Terengganu

Penduduk terjejas banjir dari daerah Dungun dan Kemaman mula dipindahkan selepas banjir gelombang kelima melanda dua daerah itu, semalam. - Foto Ihsan APM
Penduduk terjejas banjir dari daerah Dungun dan Kemaman mula dipindahkan selepas banjir gelombang kelima melanda dua daerah itu, semalam. - Foto Ihsan APM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Seramai 804 mangsa banjir dari daerah Dungun dan Kemaman dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga jam 8 pagi pada Isnin.

Daripada jumlah itu, seramai 609 mangsa membabitkan 145 keluarga dipindahkan ke enam buah PPS di Kemaman iaitu di Dewan Orang Ramai Teladas, Surau Kampung Ban Ho, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor, Dewan Sivik Air Putih, SK Teluk Kalong dan SK Kemasik.

Sementara itu, di daerah Dungun pula seramai 195 mangsa daripada 60 keluarga berpindah ke tiga buah PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Che Adam A Rahman berkata, berlaku pertambahan bilangan mangsa banjir yang dipindahkan awal pagi tadi.

"Berdasarkan keadaan cuaca semasa, berlaku hujan renyai sesekali lebat serta angin kencang di bahagian pantai. Cuaca juga mendung dan berawan di semua daerah di negeri ini.

Artikel Berkaitan:


"Setakat ini terdapat pertambahan jumlah mangsa banjir dan PPS yang dibuka awal pagi ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, paras tiga sungai utama iaitu Sungai Kampung Tebak, Sungai Kampung Baru Kemasik dan Sungai Kuala Jengai melebihi paras bahaya.