Mangsa banjir jangan alpa, patuhi SOP di PPS

Vidhyananthan memberi nasihat kepada mangsa banjir supaya sentiasa mematuhi SOP dan menjaga kesihatan semasa melawat PPS di SMK Seri Skudai, Johor Bahru pada Ahad.
Vidhyananthan memberi nasihat kepada mangsa banjir supaya sentiasa mematuhi SOP dan menjaga kesihatan semasa melawat PPS di SMK Seri Skudai, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menasihatkan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) supaya menjaga kebersihan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana banjir kali ini berlaku semasa penularan Covid-19.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidhyananthan berkata, langkah berhati-hati itu bukan sahaja bagi mengelakkan penularan Covid-19 tetapi juga penyakit lain bawaan air serta cirit-birit.

“Walaupun setakat ini tiada laporan berhubung perkara itu diterima, kita minta mangsa banjir di PPS supaya terus mematuhi SOP. Setiap PPS mempunyai petugas kesihatan termasuk doktor daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) untuk memantau kesihatan mangsa banjir.

“Kita pastikan setiap mangsa banjir yang masuk ini disaring, sekiranya demam mereka akan diasingkan dan diberi rawatan,” katanya ketika ditemui selepas melawat PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Skudai di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Vidhyananthan berkata, bagi menjaga SOP setiap bilik darjah yang dijadikan PPS hanya menempatkan empat khemah bagi mengekalkan penjarakkan sosial antara mangsa banjir iaitu satu keluarga dibekalkan satu khemah.

“Dalam soal makanan juga ketika Covid-19 ini, kita tidak dibenarkan makanan dimasak secara rewang atau gotong royong. Semua makanan dan minuman dibungkus pada tahap kebersihan tertinggi.

“Blok PPS dan bilik darjah juga dipantau dan dinyahkuman dari semasa ke semasa supaya kawasan ini bersih. Walaupun guna bilik darjah sebelum dijadikan PPS kita sudah bersihkan ikut SOP yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM),Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan sukarelawan.

“Persiapan banjir telah dilakukan sejak November tahun lalu. Kita sememangnya sudah bersedia daripada pelbagai sudut untuk menghadapi musim banjir,” katanya.