Karikatur komunis: MCA sifatkan tindakan polis terlalu keras

Tan Teik Cheng
Tan Teik Cheng
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng menyifatkan tindakan polis menyerbu serta merampas pelbagai gambar dan cawan yang mempamerkan karikatur berunsurkan wajah pemimpin komunis pada dua premis restoran di Georgetown, Pulau Pinang adalah terlalu keras.

Menurutnya, beliau berpandangan kertas dinding dengan gambar pemimpin era revolusi kebudayaan China serta wajah pemimpin Komunis, Mao Tze Tong itu hanyalah sekadar digunakan sebagai hiasan.

"Saya menasihatkan pihak berkuasa agar tidak terlalu agresif dan menangani perkara itu dengan cara yang lebih mesra.

“"Pada masa sama, saya juga berharap agar netizen tidak menjadikan perkara ini sebagai isu perkauman untuk mengelakkan merosakkan keharmonian antara kaum dan juga hubungan persahabatan antara Malaysia dan China," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Ahad.

Terdahulu, sebuah restoran yang menjadikan karya lukisan semasa era revolusi kebudayaan China menjadi tular di laman sosial WhatsApp dan Facebook, sekali gus mendapat kecaman netizen.

Susulan itu, polis mengesahkan pihaknya telah membuat serbuan dan rampasan terhadap dua premis restoran tersebut pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, siasatan awal mendapati restoran di Juru dan di Pulau Tikus di sini adalah kepunyaan pemilik yang sama iaitu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis buka kertas siasatan restoran pamer gambar pemimpin komunis

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, polis telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan pemilik restoran itu yang menghiasi gambar pemimpin era revolusi kebudayaan China serta wajah pemimpin Komunis, Mao Tze Tong pada dinding premisnya.

Sementara itu, Teik Cheng dalam kenyataan yang sama turut menyamakan kertas hias dinding karikatur Mao di restoran tersebut dengan senario di mana orang Malaysia memasang gambar Tunku Abdul Rahman ketika membuka restoran di luar negara.

Beliau yang juga Pengerusi biro MCA mengenai hubungan China berkata, tindakan pemilik restoran tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai agenda untuk mempromosikan ideologi tertentu.

Katanya, tindakan pihak berkuasa yang terlalu sensitif dalam berhadapan dengan isu berkenaan dikhuatiri berpotensi untuk merosakkan hubungan baik antara Malaysia dan China yang boleh dilihat melalui aspek ekonomi dan perdagangan ketika ini.

"Dari tahun 2013 hingga separuh pertama tahun 2020, China telah melabur sejumlah RM9.1 bilion di bahagian utara Semenanjung Malaysia.

"China juga memainkan peranan aktif dalam membantu Malaysia memerangi wabak Covid-19," katanya.

Restoran yang mempamerkan wajah pemimpin komunis telah diambil tindakan oleh polis.
Restoran yang mempamerkan wajah pemimpin komunis telah diambil tindakan oleh polis.