X

Kindly register in order to view this article
!

Vaksin diuji terlebih dahulu sebelum masuk Malaysia

Gambar hiasan
A
A

REMBAU - Vaksin Covid-19 yang dibeli kerajaan Malaysia daripada syarikat Pfizer dan Astrazeneca telah diuji secara klinikal kepada puluhan ribu penerima sebelum masuk ke negara ini.

Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sehubungan itu berkata, rakyat Malaysia tidak perlu khuatir terhadap keselamatan penggunaan vaksin tersebut kerana ia telah pun diuji sebelum sampai ke negara ini.

"Vaksin itu sudah diuji secara klinikal kepada puluhan ribu penerima sebelum ia mendapat kelulusan. Jadi apabila tiba di Malaysia, ia tidak perlu diuji lagi.

"Kita cuma perlu melihat maklumat klinikal yang mereka (Pfizer dan AstraZeneca) serahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang kini sedang melihat maklumat yang diserahkan oleh kedua-dua syarikat tersebut.

"Apabila KKM bersetuju dan berpuas hati dengan keputusan tersebut, maka selamatlah untuk kita gunakan vaksin itu. Majlis Fatwa Kebangsaan yang bermuzakarah juga memaklumkan bahawa vaksin ini adalah harus," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Rembau di sini pada Ahad.

Khairy berkata, Malaysia bukanlah sebuah negara yang lambat menerima vaksin dan juga bukan negara yang terburu-buru menerima vaksin.

ARTIKEL BERKAITAN: Khairy sedia beri taklimat kepada PAC

Menurutnya, keberhasilan dan keberkesanan vaksin tersebut boleh dilihat melalui negara-negara yang lebih awal menggunakan vaksin Covid-19.

"Kita boleh tengok apa yang berlaku di England dan Amerika Syarikat yang telah menyuntik beribu-ribu rakyat mereka. Kita tak dengar ada berlakunya kesan sampingan yang teruk.

"Ini boleh beri keyakinan kepada rakyat kita. Kalau negara luar sudah pun menerima vaksin, tak kan Malaysia mahu menolaknya," katanya.

Terdahulu media melaporkan bahawa vaksin Covid-19 fasa pertama akan mula disuntik kepada kira-kira satu juta rakyat Malaysia bermula bulan depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, proses menyuntik vaksin bagi fasa pertama adalah untuk petugas barisan hadapan.

Beliau berkata, ia diikuti golongan rentan iaitu orang yang mudah mendapat penyakit dan pesakit kronik seperti buah pinggang, sakit jantung, paru-paru dan diabetes.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!