Junjung titah Agong kurangkan agenda politik

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
A
A
A

HARI ini merupakan hari pertama kita melangkah ke tahun baharu 2021, meninggalkan pelbagai kisah sepanjang 2020 terutama krisis politik yang perpanjangan.

Dalam ucapan Selamat Tahun Baharu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menyampaikan pesanan kepada ahli politik.

Seri Paduka Baginda menasihati semua pihak khususnya ahli politik supaya mengurangkan agenda dan ketegangan politik sebaliknya berganding bahu membela kebajikan rakyat dengan mengutamakan proses pemulihan ekonomi negara.

Ini bukan kali pertama Seri Paduka menitahkan sedemikian. Dalam Titah Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada 18 Mei 2020, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan ahli Parlimen bahawa perbezaan pendapat tidak seharusnya diakhiri dengan permusuhan dan caci-mencaci.

Ahli Parlimen turut dinasihatkan supaya mempamerkan kematangan politik dan tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat berhadapan pandemik Covid-19.

Pada 16 Oktober 2020, Seri Paduka Baginda mengulangi nasihat kepada ahli politik untuk bersama bermuhasabah diri dan pada 28 Oktober pula, Seri Paduka sekali lagi menasihatkan ahli politik agar menghentikan segala perbalahan politik dan pembentangan Belanjawan 2021 diluluskan tanpa gangguan.

Pada 25 Oktober 2020, perkara sama dititahkan Seri Paduka Baginda kepada ahli politik supaya mengetepikan perbezaan fahaman dan bersatu hati memainkan peranan membendung wabak Covid-19.

Titah nasihat berulang kali itu membuktikan keprihatinan Seri Paduka Baginda yang inginkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat jelata terpelihara kerana ia amat bergantung kepada kestabilan politik serta pentadbiran negara.

Artikel Berkaitan:

Memasuki tahun baharu ini, diharap semua ahli politik menjunjung titah nasihat Seri Paduka Baginda dengan menjiwai keluh kesah rakyat.

Hentikanlah percaturan politik pada saat rakyat bergelut mencari duit poket bagi meneruskan kelangsungan hidup.