X

Kindly register in order to view this article
!

Hanya PH mampu selamatkan feri Pulau Pinang: Guan Eng

Guan Eng bersama pengikutnya menaiki feri dari terminal Pangkalan Raja Uda di sini menuju ke Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth sebagai simbolik mengucapkan selamat tinggal buat feri yang telah berjasa sejak 126 tahun lalu.
A
A

GEORGETOWN - Feri ikonik Pulau Pinang hanya boleh diselamatkan dan terus digunakan sekiranya Pakatan Harapan (PH) kembali mengambil alih kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, satu kerugian besar buat Pulau Pinang apabila pengangkutan air paling tertua di negara ini akan ditamatkan bermula esok dan digantikan dengan katamaran atau bot laju.

Menurutnya, rakyat khususnya warga Pulau Pinang marah dan tidak akan lupa dengan keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang cuba melenyapkan warisan budaya Pulau Pinang ini.

"Feri ikonik ini boleh diselamatkan kalau Menteri Pengangkutan kita ialah Anthony Loke Siew Fook dan bukannya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

"Sewaktu menjadi Menteri Kewangan, saya syaratkan syarikat swasta yang mengendali perkhidmatan ini wajib meneruskan penggunaan feri dan balasannya kerajaan akan beri RM30 juta peruntukan, namun syarat ini diabaikan oleh kerajaan Perikatan Nasional," katanya pada sidang media di sini pada Khamis.

Terdahulu, Guan Eng bersama lebih 100 orang pengikutnya menaiki feri dari terminal Pangkalan Raja Uda di sini menuju ke Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth sebagai simbolik mengucapkan selamat tinggal buat feri yang telah berjasa sejak 126 tahun lalu.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang menafikan PH tidak langsung berusaha menyelamatkan feri bersejarah itu sewaktu 22 bulan menjadi kerajaan Persekutuan.

Katanya, dahulu pihaknya mencadangkan agar feri ikonik dan bot katamaran digunakan bagi memberi pilihan kepada orang ramai menggunakan pengangkutan air moden atau warisan itu untuk menyeberang laut.

Orang ramai melambaikan tangan kepada pemandu kereta yang selepas ini tidak dapat menggunakan lagi perkhidmatan feri.
Orang ramai melambaikan tangan kepada pemandu kereta yang selepas ini tidak dapat menggunakan lagi perkhidmatan feri.

Dengan cara itu katanya, nilai warisan budaya yang menjadi kebanggaan Pulau Pinang dapat diteruskan dan bukannya dengan cara melenyapkan khazanah berharga ini begitu sahaja.

"Kenapa tak boleh kekalkan dua atau tiga buah feri sahaja terus beroperasi? Kenapa nak jimatkan kos syarikat swasta sedangkan sebelum ini mereka telah mengaut keuntungan yang banyak?

"Sebagai negeri yang diiktiraf sebagai Bandar Warisan Dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), pertukaran feri ini adalah satu kehilangan besar dan saya tidak akan putus asa untuk terus berjuang menyelamatkan feri kita," katanya.

Hari ini merupakan hari terakhir perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang digunakan setelah berkhidmat sejak sekian lama untuk semua lapisan rakyat, pelancong serta pemilik kenderaan.

Feri Pulau Angsa satu-satunya feri lama yang akan digunakan selepas ini untuk membawa pengguna bermotosikal dan basikal sahaja.
Feri Pulau Angsa satu-satunya feri lama yang akan digunakan selepas ini untuk membawa pengguna bermotosikal dan basikal sahaja.

Bermula 1 Januari 2021, hanya sebuah feri lama akan digunakan untuk membawa pengguna bermotosikal dan berbasikal sahaja, manakala pejalan kaki akan menaiki tiga bot laju yang disediakan.

Kenderaan empat tayar pula tidak lagi dibenarkan menggunakan pengangkutan air itu untuk menyeberang laut sebaliknya perlu menggunakan dua jambatan yang ada.

Tinjauan Sinar Harian pada Khamis mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menaiki feri buat kali terakhir sebelum ia dihentikan tepat jam 12 malam nanti.

Berlaku kesesakan luar biasa sebelum tol masuk ke dalam feri apabila ratusan kenderaan sanggup beratur menunggu giliran dan keadaan ini dijangka berlarutan sehingga malam nanti.

ARTIKEL BERKAITAN: Pulau Pinang masih harap feri ikonik dikekalkan

Perkhidmatan feri Pulau Pinang diteruskan

Katamaran ganti feri di Pulau Pinang


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!