Vaksin Covid-19 Oxford lulus di UK

Vaksin Covid-19 Oxford lulus di UK. - Foto Metro.co.uk
Vaksin Covid-19 Oxford lulus di UK. - Foto Metro.co.uk
A
A
A

LONDON - Vaksin Covid-19 dari Oxford-AstraZeneca telah diluluskan untuk digunakan di United Kingdom (UK), sekali gus memberi harapan membendung wabak Covid-19.

Menerusi laporan Metro.co.uk, negara itu menerima bekalan 100 juta dos vaksin yang dibangunkan Univesiti Oxford bersama syarikat farmaseutikal AstraZeneca menjadi vaksin kedua yang dilancarkan dalam program imunisasi UK.

Kerajaan UK telah memeterai perjanjian itu pada awal Disember.

Setiausaha Kesihatan Matt Hancock memberitahu pengumuman itu merupakan 'berita hebat' dan mengesahkan penggunaan vaksin Covid-19 itu bermula 4 Januari depan.

Beliau memberitahu Sky News, vaksin Oxford-AstraZeneca tidak memerlukan suhu ekstrem untuk disimpan berbanding vaksin Pfizer-Biontech yang perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius.

"Ini satu inovasi terbaik malah vaksin berkenaan memastikan negara miskin mempunyai akses kepada vaksinnya dengan mengekalkan kos rendah bagi setiap dos," katanya.

Difahamkan, harga setiap dos dalam lingkungan AS$3 ke AS$4 (kira-kira RM12 ke RM16).

Penghasilan vaksin merupakan satu penghormatan kepada para saintis UK di Universiti Oxford dan AstraZeneca kerana kejayaan itu mampu menyelamatkan nyawa di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

Bekalan vaksin itu akan diberikan pada suku pertama tahun hadapan.

Kerajaan berharap dapat membekalkan dos pertama vaksin kepada dua juta orang sepanjang dua minggu akan datang.

Dalam pada itu, dapatan data awal menunjukkan vaksin itu dapat memberikan perlindungan 70 peratus namun para peneliti mengatakan perlindungan terbesar 90 peratus dapat diraih dengan mengubah dos.

Hasil ini dianggap sebagai kemajuan penting setelah vaksin Pfizer dan Moderna menunjukkan perlindungan 95 peratus.