KPDNHEP teruskan siasatan bongkar isu daging seludup

Rosol (kanan) ketika melakukan tinjauan sempena Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2020, di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada Rabu.
Rosol (kanan) ketika melakukan tinjauan sempena Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2020, di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada Rabu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meneruskan siasatan bagi membongkar isu penyeludupan bekalan daging tanpa pengesahan halal ke negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pemantauan akan dijalankan secara berterusan dan serbuan akan dilakukan tanpa sebarang notis.

"Kita akan pantau secara berterusan, siasat dan akan buat serbuan secara berkala tanpa apa-apa notis pada bila-bila masa.

"Jangan anggap bila kes ini sudah ada pendakwaan ia telah selesai dan kita telah cuci tangan," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan sempena Program Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2020 di sini pada Rabu.

Rosol menegaskan, tugas dan tanggungjawab KPDNHEP ialah memastikan semua barangan makanan yang diimport ke Malaysia adalah halal.

"Semua daging yang akan masuk ke Malaysia wajib halal dan wajib dipastikan halal sebelum masuk ke pelabuhan di negara ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa pasar raya mempamerkan sijil halal dan sumber perolehan bekalan daging bagi mengelak sebarang kekeliruan dalam kalangan pengguna.

"Selain mudah dilihat pelanggan, sijil halal yang dipamerkan itu sebolehnya perlu disahkan juga oleh pihak berkuasa setempat bagi meyakinkan lagi pengguna.

Artikel Berkaitan:

"Jika boleh besarkan simbol halal itu supaya mudah dilihat pelanggan sebab saya yakin produk halal ini bukan sahaja melibatkan orang Islam malah turut dapat permintaan daripada bukan Islam," katanya.