[DIKEMASKINI] Laporan Sinar Harian berkenaan isu kartel daging tepat

Sinar Harian nafi pernah membuat sebarang laporan terdapatnya daging haiwan lain seperti kanggaru, kuda dan babi dalam laporan khas kartel daging haram pada akhir November lepas.
Sinar Harian nafi pernah membuat sebarang laporan terdapatnya daging haiwan lain seperti kanggaru, kuda dan babi dalam laporan khas kartel daging haram pada akhir November lepas.
A
A
A

SHAH ALAM - Sinar Harian menafikan pernah membuat sebarang laporan yang menyatakan terdapatnya daging haiwan lain seperti kanggaru, kuda dan babi dalam laporan khas kartel daging haram pada akhir November lepas.

Ketua Meja Jenayah dan Mahkamah Sinar Harian, Izwan Rozlin berkata, beliau bersama pasukannya juga tidak pernah sama sekali membuat sebarang dakwaan yang menyatakan sindiket kartel itu telah melakukan kegiatan tersebut selama lebih 40 tahun.

“Saya selaku wartawan Sinar Harian yang membuat liputan terhadap isu kartel ini menafikan bahawa dalam penulisan laporan khas ini kononnya daging haram tersebut diseludup sekali dengan daging kanggaru, kuda dan babi.

“Berkenaan dengan adanya daging babi dalam aktiviti sindiket daging haram itu, kita hanya menyatakan rampasan tersebut disyaki ada babi kerana pegawai penguat kuasa ada menjumpai invois yang menunjukkan maklumat berkenaan terdapat daging tersebut semasa pemeriksaan dibuat.

“Kami juga hanya diberitahu bahawa syarikat itu beroperasi sejak beberapa tahun yang lalu sahaja,” katanya di sini pada Selasa.

Izwan berkata, isu utama yang dilaporkan dalam laporan khas kartel daging haram itu adalah berkenaan penggunaan logo Halal Malaysia palsu yang diletakkan pada kotak yang juga telah dipalsukan.

“Daging seludup haram ini dibungkus semula menggunakan logo halal palsu bersama dengan kotak yang menyerupai pengeluar daging import yang sebenar.

“Mereka melakukan pembungkusan semula daging tersebut dan meletakkan logo halal palsu pada kotak tersebut. Itu sahaja yang kami laporkan sepanjang membuat liputan isu kartel daging haram ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian membongkar taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak beberapa tahun lalu dengan menjadikan gudang tersebut sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula sebelum dijual di pasaran tempatan sebagai daging halal.

Sejumlah 1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta telah disita dalam operasi yang diketuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu.