Vaksin, manfaat melebihi mudarat

No Image Caption
A
A
A

SEHINGGA 27 Disember 2020, Malaysia mencatat sebanyak 105,096 kes positif Covid-19 dan dijangka jumlahnya terus meningkat. Justeru, kerajaan memperuntukkan pembelian vaksin Covid-19 untuk sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk daripada Pfizer-BioNTech, Covax dan AstraZeneca-Oxford dengan anggaran sekurang-kurangnya 40 peratus penduduk akan divaksin pada tahun 2021.

Namun, isu utama adalah penolakan penerimaan vaksin itu oleh masyarakat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenal pasti penolakan vaksin sebagai satu daripada ancaman kesihatan global kerana tindakan itu adalah antara faktor utama kemunculan semula penyakit berjangkit.

Di Filipina misalnya, pada tahun 2019, seramai 136 orang kebanyakannya kanak-kanak maut akibat penyakit campak disebabkan ketakutan rakyat mengambil suntikan vaksin.

Di Malaysia, berlaku kemunculan semula penyakit berjangkit seperti penyakit anjing gila, difteria, polio dan campak disebabkan ketidakpatuhan kepada program imunisasi terutama dengan kehadiran golongan antivaksin.

Vaksin bukan sahaja berupaya mencegah penyakit tetapi juga mengurangkan gejala, menjadikan penyakit lebih ringan dan mengurangkan risiko kecacatan apabila dijangkiti.

Di seluruh dunia, pengenalan program imunisasi telah berjaya menurunkan kadar kes penyakit berjangkit. Vaksin adalah selamat kerana manfaatnya jauh lebih besar daripada kesan sampingan yang mungkin timbul.

Kebelakangan ini, banyak maklumat yang tidak sahih berkaitan vaksin tersebar khususnya di media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Wujud golongan yang terang-terangan mempengaruhi masyarakat menolak vaksin dengan fahaman salah melalui penyebaran maklumat tidak sahih oleh golongan antivaksin, antaranya Program Imunisasi Kebangsaan dianggap tidak memberi manfaat dan menimbulkan banyak kesan buruk.

Antara yang dipertikai adalah status halal vaksin kepada orang Islam, kandungan vaksin yang boleh mengancam kesihatan dan nyawa, kesan sampingan vaksin dan keberkesanan vaksin.

Artikel Berkaitan:

Kewujudan golongan berkenaan nyata bertentangan dengan sains dan perubatan, malah lebih membimbangkan apabila gerakan itu giat menyampaikan dakyah dan teori tanpa memikirkan kesan buruk menerusi laman sesawang dan jaringan media sosial.

Rintangan Perbuatan tidak bertanggungjawab golongan antivaksin menyebabkan usaha KKM berdepan rintangan dengan peningkatan ketara kes penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui vaksin. Berdasarkan rekod KKM, pada tahun 2013 kes, demam campak meningkat daripada 195 kes kepada 1,934 kes pada 2018 iaitu peningkatan 891.8 peratus dalam tempoh lima tahun.

Bilangan kes demam campak yang tiada imunisasi pula meningkat daripada 125 kes (68.7 peratus) pada tahun 2013 kepada 1,467 kes (75.9 peratus) pada tahun 2018.

Walaupun menyedari kepentingan vaksin, kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan semua rakyat mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19, sebaliknya ia hanya akan diberikan secara sukarela terutama kepada golongan berisiko.

Bebas daripada penyakit berjangkit dianggap sebagai hak yang perlu dipelihara, namun ia ditentukan oleh sikap masyarakat. Hak itu ditentukan oleh berapa peratus masyarakat menerima liputan vaksin. Jika peratusan itu tidak mencapai had threshold herb immunity, maka wabak penyakit akan berlaku.

Fahaman antivaksin adalah ancaman serius. Golongan antivaksin tidak wajar merisikokan kesihatan masyarakat dengan menafikan suntikan vaksin Covid-19.

Malah, keengganan menerima vaksin adalah sikap tidak bertanggungjawab yang bakal menafikan hak masyarakat untuk bebas daripada penyakit berjangkit berbahaya seperti Covid-19 atas hujahan, mudarat yang bakal diterima bukan sahaja kepada pelaku tetapi juga masyarakat keseluruhannya.

*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia