KKM pertimbang pesakit Covid-19 kuarantin di rumah

]Noor Hisham]
]Noor Hisham]
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan untuk pesakit Covid-19 tahap satu dan dua menjalani kuarantin di rumah sekiranya keadaan memerlukan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, sekiranya ia dilaksanakan, terdapat kriteria yang perlu dipatuhi.

"Antaranya ialah kesesuaian rumah termasuk bilik air dan sebagainya," katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya di sini pada Isnin.

Menurutnya, KKM juga akan melihat bagaimana petugas kesihatan dapat memantau pesakit di rumah.

"Kita lakukan penilaian kesihatan," katanya.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata, polisi pesakit dikuarantin di fasiliti kesihatan masih kekal.

"Dasar kita masih sama dengan pesakit akan dikuarantin di hospital," katanya.

Beliau berkata, sekiranya berlaku peningkatan kes, KKM juga akan mempertimbangkan untuk menggunakan asrama majikan sebagai pusat kuarantin bagi pekerja tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Sewaktu Kluster Teratai, kita telah melakukannya dengan menempatkan pesakit bergejala ringan," katanya.

Mengulas mengenai kapasiti katil di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Lembah Klang, beliau berkata, sebanyak 58 peratus daripada 11,493 telah digunakan.

"Kita masih ada kapasiti dari segi katil tetapi sedang mendepani dengan isu logistik untuk memindahkan pesakit dari rumah ke hospital," katanya

Menurutnya, perkara itu terjadi berikutan peningkatan kes sejak akhir-akhir ini.

"Nasihat kita kepada individu yang sedang menunggu untuk dihantar ke hospital adalah kekal berada di rumah dan pastikan pengasingan selain memakai pelitup muka dan tidak bergaul dengan yang lain.

"Bersabarlah dan sentiasa berhubung dengan pusat kesihatan daerah," katanya.