Jakim minta pihak industri tampil buat perakuan produk halal

SIRAJUDDIN
SIRAJUDDIN
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta syarikat terlibat untuk tampil membuat perakuan bahawa produk daging dijual mereka menepati aspek halal.

Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikannya, Datuk Dr Sirajudin Suhaimee berkata, ia bagi memberi keyakinan kepada orang ramai yang kini berasa was-was selepas berlaku isu penyeludupan dan penipuan daging baru-baru ini.

Selepas isu berkenaan timbul, katanya, sudah ada beberapa syarikat yang mengedar dan menjual daging membuat perakuan sejak minggu lalu bahawa produk yang mereka jual sudah dipersijilkan Halal.

"Jadi orang ramai tak perlu risau atau berasa was-was lagi kerana kalau hendak makan daging, produk itu yang halal masih ada.

"Saya juga meminta agar lebih banyak pihak industri dapat tampil menyatakan perakuan bahawa produk daging mereka telah disembelih mengikut syarat, ada kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), melepasi pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) termasuk menepati apa jua peraturan berkaitan Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Facebook Live bertajuk 'SOP Sijil Halal: Di Mana Silapnya?' yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Jakim pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Seludup wagyu dalam kontena babi

Gesa dedah nama syarikat kartel daging haram

Kartel daging: Kerajaan janji selesai segera, kaji penubuhan RCI

Beliau mengulas demikian susulan kebimbangan masyarakat Islam di negara ini terhadap produk daging di pasaran.

Sirajudin berkata, bagi industri yang tiada masalah dan akur dengan segala peraturan ditetapkan, mereka boleh tampil segera membuat perakuan demi menjamin kemaslahatan ummah.

Mengulas prosedur standard operasi (SOP) yang dikatakan lemah sehingga menyebabkan berlaku penyeludupan daging tidak halal ke dalam negara, Sirajuddin berkata, SOP berkaitan pengimportan daging ke Malaysia sebenarnya sudah lama ada, cuma berlaku ketirisan dalam beberapa aspek.

Artikel Berkaitan:

"Perkara itu yang perlu dikemas kini dan diperkuatkan agar ketirisan yang berlaku hari ini tidak berulang.

"Bagaimanapun dalam kes penipuan dan penyeludupan kartel daging baru-baru ini, ketirisan itu ditemui pihak berkuasa setelah pihak Maqis menjalankan intipan ke atas aktiviti licik pihak tidak bertanggungjawab yang membawa masuk daging tidak halal dan meletakkan logo Halal palsu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penguat kuasa korup guna kod rahsia 'daging karpet merah’

Rakyat Malaysia gempar isu daging import haram