Pasaraya Econsave tiada kaitan dengan syarikat daging import yang disiasat

Mas Imran (kanan) menunjukkan sijil halal pembekal yang membekalkan daging import kepada Pasaraya Econsave selepas sidang akhbar di Skudai pada Isnin.
Mas Imran (kanan) menunjukkan sijil halal pembekal yang membekalkan daging import kepada Pasaraya Econsave selepas sidang akhbar di Skudai pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasaraya Econsave menafikan sebarang kaitan dengan pembekal daging import yang sedang disiasat pihak berkuasa ketika ini.

Pengurusnya, Mas Imran Adam berkata, pihaknya tidak pernah membuat urusan secara langsung atau tidak langsung dengan syarikat pembekal tersebut.

"Pihak Econsave ingin menegaskan bahawa semua pembekal daging import kami mempunyai sijil halal yang disahkan.

"Kami juga ingin menegaskan bahawa pihak kami tidak pernah berurusan dengan pembekal yang sedang disiasat oleh pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar di Pasaraya Econsave Taman Teratai, Skudai di sini pada Isnin.

Pembekal daging import bagi Pasaraya Econsave ialah Pts Food Distribution Sdn Bhd, Ipoh Food Service Sdn Bhd, Fatric Sdn Bhd dan Lucky Frozen Sdn Bhd.

Notis status halal daging import di Pasaraya Econsave.
Notis status halal daging import di Pasaraya Econsave.

Imran berkata, Pasaraya Econsave yang mempunyai 20 cawangan di Johor turut terkena tempias berikutan pendedahan isu kartel daging sejak kebelakangan ini.

"Ramai pelanggan bertanya mengenai status halal daging import yang dijual. Pihak kami akan maklumkan kepada pelanggan bahawa daging import yang diambil adalah daripada sumber yang sah di mana pengimport ada sijil halal.

Artikel Berkaitan:

"Pihak kami juga ada pamerkan sijil halal yang diperolehi pembekal pada ruangan yang mudah dilihat agar pelanggan tidak ragu-ragu," katanya.

Ditanya mengenai jualan daging import selepas pendedahan isu kartel daging tersebut, Mas Imran mengakui jualannya merosot sekitar 10 hingga 15 peratus di setiap cawangan pasar raya berkenaan di Johor.

"Secara purata, setiap cawangan pasar raya mampu menjual sekitar dua hingga tiga tan daging import setiap bulan. Jumlah itu akan meningkat hampir 10 tan menjelang sambutan hari raya," katanya.

Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian menerusi laporan khasnya mendedahkan mengenai kegiatan kartel daging sejuk beku import di Senai, Johor yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.