Prestasi Sukan SEA tiada kaitan dengan ketidakstabilan politik

Saifuddin (dua, kanan) pada Jamuan Aidilfitri Keluarga Perikatan Nasional Indera Mahkota di sini, pada malam Jumaat.
Saifuddin (dua, kanan) pada Jamuan Aidilfitri Keluarga Perikatan Nasional Indera Mahkota di sini, pada malam Jumaat.
A
A
A

KENYATAAN Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mendakwa ketidakstabilan politik negara menjadi punca kepada prestasi Malaysia dalam Sukan Asia Tenggara (SEA) terjejas adalah tidak tepat.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menganggap kenyataan itu jauh tersasar dan menggambarkan menteri terbabit tidak mengetahui perkembangan sukan.

Tegasnya, mereka yang terlibat dengan sukan sahaja yang mengetahui situasi sebenar mengenai dunia sukan.

"Orang (individu) yang terlibat dalam sukan, tahu bahawa perkembangan sukan tidak ada kena-mengena dengan kestabilan politik.

"Ada banyak masalah lain mengapa prestasi kita mungkin turun naik dalam sukan tetapi bukan disebabkan kestabilan politik. Jadi janganlah membuat kenyataan yang menunjukkan beliau (Hannah) tidak memahami sukan," katanya ketika Jamuan Aidilfitri Keluarga Perikatan Nasional Indera Mahkota pada malam Jumaat.

Pada Jumaat, Hannah dalam kenyataan mengakui ketidakstabilan politik negara sejak lima tahun kebelakangan turut memberi impak kepada kegagalan kontinjen negara di pentas Sukan SEA Kemboja 2023.

Hannah juga berkata, ketidakstabilan politik negara menyaksikan segala perancangan, peruntukan mahu pun persiapan terjejas disebabkan struktur politik negara yang sering berubah.

Jelasnya, antara sektor yang terkesan memandangkan apa yang dirancang termasuk program pembangunan dan strategi dalam sukan tidak dapat dilaksanakan secara berkesan.

Mengulas lanjut, Saifuddin menjelaskan antara penyebab prestasi sukan terjejas susulan tiada pembangunan sukan yang mantap.

Ujarnya, berdasarkan pengalaman sebagai pengasas Liga Bola Keranjang Wanita Malaysia, beliau memberi contoh Malaysia kalah disebabkan tiada pemain posisi tengah yang 'tinggi'.

Tambahnya, apabila negara lain menurunkan pemain tengah tinggi, Malaysia masih menurun kesemua pemain yang merupakan rakyat jati (yang rendah).

"Saya boleh bagi tahu mengapa prestasi bola keranjang Malaysia tidak begitu baik di Sukan SEA baru baru ni. Langsung tak ada kena mengena dengan politik. Kelemahan utama pasukan bola keranjang Malaysia ialah kerana kita tak ada pemain 'center' (tengah) yang tinggi.

"Sebelum ini pasukan wanita Malaysia menang 11 pingat emas sebab center kita boleh lawan semua center dari ASEAN. Tapi bila dia (negara lain) bawa pemain dari Amerika Syarikat, pengsan lah kita" jelasnya.

Beliau menyarankan agar Menteri Sukan itu untuk merujuk terlebih dahulu kepada mereka yang lebih berpengalaman sebelum membuat kenyataan.

"Isu sebenar mereka adalah pembangunan sukan, bukannya masalah politik. Justeru, saya nak nasihatkan menteri (Hannah) supaya tanyalah orang yang sudah lama dalam sukan sebelum buat kenyataan," ujarnya.