Pihak berkuasa perlu tangani segera isu daging import haram

Andansura Rabu
Andansura Rabu
A
A
A

KUANTAN - Pihak berkuasa di negeri ini diminta mengambil langkah segera berhubung isu kartel daging haram import ketika ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, ia bagi memastikan isu itu tidak berlaku di negeri ini selain mengekang penularan perkara-perkara tidak diingini dan boleh menjejaskan keharmonian hidup rakyat.

“Produk daging halal ini merupakan bahan masakan harian di kedai-kedai makan di mana ramai peniaga menggunakan daging import untuk hidangan kepada pelanggan.

"Jadi isu ini menuntut tindakan serius agensi terbabit selain segera umumkan nama-nama syarikat-yang dikenal pasti tidak menggunakan daging yang halal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penyerahan Bantuan Khas Skim Bantuan Am Kerajaan Negeri di Pusat Khidmat DUN Beserah, Balok, di sini pada Isnin.

Andansura berkata, terlalu banyak jenama daging import di pasaran dan dibimbangi ia boleh menjejaskan syarikat pembekal lain yang tidak bersalah.

“Ada pengilang tempatan yang beroperasi dengan baik dan mengutamakan pematuhan halal namun terkena tempias jika kartel terlibat tidak didedahkan kepada umum dengan segera,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penguat kuasa korup guna kod rahsia 'daging karpet merah’

Artikel Berkaitan:

Daging import haram dijual secara online

Kartel tukar daging haram jadi halal

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Lujnah Pekerja dan Kepenggunaan Pas Pusat berkata, penguatkuasaan untuk memantau, pemeriksaan dan penyeliaan ke atas semua pemegang permit import daging daripada luar untuk pasaran negeri Pahang juga perlu segera dijalankan.

“Kita rasa negeri Pahang juga tidak dapat lari daripada isu ini. Justeru, perhatian serius perlu diberikan dengan tindakan segera yang lebih tegas.

“Langkah ini perlu bagi melindungi umat Islam daripada menggunakan produk daging import meragukan dan melindungi pengusaha-pengusaha daging tempatan," katanya.

Tambah beliau, sejak isu itu didedahkan media, ia disusuli pula dengan beberapa lagi siri laporan pembongkaran dan reaksi daripada pelbagai pihak yang ditokok tambah dengan maklumat palsu dan mengelirukan di media sosial.

"Kita bimbang isu ini disensasikan dengan maklumat tidak tepat dan ditularkan di media sosial hingga mengelirukan pengguna.

"Kita menyambut baik langkah beberapa agensi terlibat dalam rantaian perbekalan daging ini yang tampil memberi jaminan dan kesediaan meningkatkan kawal selia yang lebih ketat atas perkara berkaitan," katanya.