X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan tunggu maklum balas penganjur MPWM 2020

Ahmad Marzuk Shaary
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan masih menunggu maklum balas penganjur pertandingan Miss/Mrs Plus Malaysia (MPWM 2020) sama ada dibatalkan atau sebaliknya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, sebelum ini pihaknya melalui Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengadakan pertemuan dengan penganjur supaya membatalkan program berkenaan.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini kerajaan masih belum menerima maklum balas tetapi berharap program tersebut dapat dibatalkan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

"Semua pihak perlu lebih prihatin dan mengelak daripada menganjurkan program seperti itu dalam keadaan yang memerlukan kita semua patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

"Walaupun program berkenaan merupakan rancangan tahunan pihak penganjur tetapi fikirkan bahawa rakyat sedang berdoa supaya ALLAH SWT mengangkat penyakit ini (Covid-19).

"Jadi semua pihak berikhtiar untuk menjaga adat dan tatasusila dan supaya tidak mengundang kemurkaan ALLAH," katanya kepada pemberita menghadiri Program Berkhatan Peringkat Pengkalan Chepa Dewan Besar Pasti di Penambang pada Sabtu.

Penganjur MPWM 2020 sebelum ini mempertahankan acara berkenaan kerana menggalakkan dan mengangkat kecantikan, kebijaksanaan dan keyakinan wanita bersaiz besar.

Pertandingan itu tidak melibatkan pertunjukan bikini atau pakaian renang.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Ahmad Marzuk memberitahu, kerajaan juga mengadakan pertemuan bersama 80 pendakwah selebriti Khamis lalu bagi menyampaikan mesej daripada kerajaan bagi menjaga nama baik golongan agamawan.

Katanya, pertemuan tersebut turut berkongsi pendapat dan cadangan untuk mempelbagaikan pengisian ilmu kepada masyarakat.

"Beberapa negara menggunakan media sebagai medium untuk membentuk perilaku dan akhlak melalui drama, cerita pendek dan filem yang akan mempengaruhi masyarakat.

"Semua cadangan itu kita akan proses dan sesuaikan untuk perlaksanaan melalui media berkaitan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!