Melaka bakal manfaat sistem amaran banjir

SPOP Advanced telah dipasang di Rumah Pam Kawalan Banjir As Syakirin di Pulau Melaka pada tahun 2017.
SPOP Advanced telah dipasang di Rumah Pam Kawalan Banjir As Syakirin di Pulau Melaka pada tahun 2017.
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya TNB Research Sdn Bhd (TNBR) meneruskan kerjasama dengan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi menambah pemasangan sistem amaran banjir di bandar Melaka.

Pengarah Urusan TNBR, Ir Dr Mohd Fadzil Mohd Siam berkata, selepas pemasangan di dua lokasi di Melaka pada 2020, Sistem Pemantauan Operasi Pam (SPOP) Advanced, hasil inovasi Kumpulan Kreatif dan Inovatif MBMB iaitu Ingenieria Crew dengan kerjasama TNBR serta syarikat Intel Microelectoric Sdn Bhd, akan dipasang di empat lagi lokasi di Melaka.

“TNBR menyumbang kepakarannya dalam memajukan sistem ini yang mula dipasang di Rumah Pam Kawalan Banjir Bunga Raya Pantai dan Rumah Pam Kawalan Banjir As Syakirin di Pulau Melaka pada 2017.

“Berikutan keberkesanan sistem itu, MBMB akan memasang sistem itu di empat lagi lokasi yang sering dilanda banjir iaitu di Sungai Udang, Kampung Morten, Jambatan Tan Kim Seng dan Pengkalan Rama yang dijangka siap pada 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Fadzil berkata berdasarkan reko, laporan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia bagi tahun 2017 hingga Mac 2018 mencatatkan 22 kejadian banjir di negeri Melaka sepanjang tempoh itu.

Begitupun katanya, SPOP Advanced di Rumah Pam Kawalan Banjir Bunga Raya Pantai dan Rumah Pam Kawalan Banjir As Syakirin berjaya mengelak kawasan Bandar Hilir daripada dilanda banjir.

"SPOP Advanced menggunakan teknologi Internet Pelbagai Benda (Internet-of-Things - IoT) terkini untuk mengesan kenaikan paras air sungai dan laut, kerosakan pam, bekalan elektrik terputus, pemantauan kualiti udara dan operasi pam secara langsung.

"Menerusi sistem pemantauan berasaskan awan (cloud-based monitoring) dengan kerjasama TNBR, amaran atau maklumat boleh disampaikan kepada MBMB sama ada secara panggilan telefon (dropped call) dan khidmat pesanan ringkas (sms) atau menerusi pemantauan dalam pelayar web," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Fadzil berkata, sebagai sistem yang membolehkan pemantauan dilakukan lebih efisien dan menjimatkan masa, ia turut mendapat pengiktirafan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam menangani bencana alam.

“Kaedah pemantauan melalui SPOP Advanced amat berguna terutamanya ketika kita melalui norma baharu pekerjaan dengan meminimumkan keperluan interaksi fizikal di lokasi.

“Sudah tentu sistem ini memberi manfaat terbesarnya kepada penduduk Melaka kerana ia mampu mengesan kerosakan rumah pam dan mengurangkan bencana banjir daripada berlaku disebabkan kekurangan penyelenggaraan,” katanya.