Vaksin Covid-19: Keputusan Muzakarah perlu disokong

Gambar kecil: Mohd Izhar Ariff dan Wan Akashah
Gambar kecil: Mohd Izhar Ariff dan Wan Akashah
A
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam di negara ini perlu menyokong keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang mengambil ketetapan mengharuskan penggunaan vaksin Covid-19.

Pensyarah Kanan Fiqh Fatwa, Pusat Kajian Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, penetapan wajib untuk golongan tertentu yang ditetapkan kerajaan adalah satu usaha yang sangat baik.

Menurutnya, beliau meminta masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya memberikan hukum dan menghalang umat Islam daripada mengambil vaksin tersebut tanpa bukti-bukti yang kukuh.

“Kerajaan telah melakukan pemerhatian dan penilaian yang sepatutnya bagi meneliti setiap vaksin yang akan diambil. Pada masa sama, kerajaan juga mengambil kira pandangan daripada para Mufti dari dalam dan luar negara sebelum menentukan hukum vaksin ini.

“Jadi, kajian dan penelitian terhadap vaksin yang bakal masuk ke Malaysia itu adalah tugas menteri yang terlibat. Maka Janganlah pula kita sebagai orang awam mengambil tugas mereka.

"Begitulah juga isu fatwa dan hukum vaksin untuk mereka yang diharuskan dan kumpulan yang diwajibkan. Isu ini biarlah pakar perubatan dan Mufti yang menentukan hukum tersebut,” katanya di sini pada Khamis.

Mohd Izhar berkata, penetapan dibuat bersama Mufti daripada beberapa negeri itu merupakan sebuah ijtihad dan fatwa bersifat semasa yang digalakkan oleh Nabi Muhammad SAW bagi menyelesaikan sesuatu masalah pada masa kini.

“Ia merupakan satu ijtihad yang tidak wujud pada zaman terdahulu. Maka ijtihad dan fatwa yang dipersetujui oleh Mufti dalam negara kita dan luar negara adalah satu usaha yang baik kerana menepati maqasid syariah serta menepati sunah Nabi Muhammad SAW.

Artikel Berkaitan:

“Sesuatu perkara yang tidak ada dalam al-Quran dan as-Sunnah, maka ulama dan para mufti diminta untuk berijtihad bagi menangani isu vaksin Covid-19.

“Ia juga sekali gus menunjukkan bahawa Islam itu suatu agama yang universal, suatu agama yang sesuai sepanjang zaman dan lebih memahami tentang isu-isu sains dan teknologi,” katanya.

Pada Rabu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Disember lalu mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan bahawa ketetapan itu telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

Menurutnya, penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak yang dapat dilihat dalam enam keputusan yang mengharuskan penggunaannya oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia daripada tahun 1988 hingga 2013.

Sementara itu, Pendakwah, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid turut bersetuju dengan keputusan Muzakarah berkenaan hukum penggunaan vaksin Covid-19.

Beliau berkata, saranan yang dibuat melalui Zulkifli itu merupakan suatu ikhtiar yang perlu dilakukan oleh umat Islam demi menjaga nyawa mereka.

“Saya menyeru kepada rakyat Malaysia terutama sekali kepada golongan yang terdedah dan mudah dijangkiti Covid-19 supaya mengambil vaksin ini untuk menjaga keselamatan nyawa mereka.

“Sebab memang Nabi Muhammad SAW telah bersabda, dua nikmat yang manusia sentiasa lalai dan tertipu dengan ia iaitu nikmat kesihatan dan juga nikmat masa lapang.

“Justeru kita jangan tertipu dengan nikmat yang kita adakan. Disebabkan itu menjaga kesihatan adalah satu keperluan dan satu kewajipan kepada setiap individu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hukum ambil vaksin Covid-19 harus

Jangan takut guna vaksin Covid-19

Vaksin Covid-19: Hukum syarak boleh diharuskan jika darurat