X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan takut guna vaksin Covid-19

Muka depan laporan Sinar Harian hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak takut menggunakan vaksin Covid-19 apabila negara memperoleh bekalan berkenaan mulai tahun depan.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, walaupun media antarabangsa melaporkan sebanyak enam kematian direkodkan dalam fasa percubaan vaksin tersebut, namun rakyat Malaysia perlu kekal tenang kerana kerajaan diyakini akan memastikan vaksin yang diterima tidak memberikan kesan mudarat.

“Apa yang penting rakyat ketika ini perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan diri.

“Mengenai vaksin Covid-19 Pfizer, biarlah kerajaan yang putuskan nanti kerana keputusan kerajaan pastinya akan mengambil kira soal keselamatan penggunaan vaksin tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Dr Hanafiah
Dr Hanafiah

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) semalam mendedahkan seramai enam orang meninggal dunia dalam fasa percubaan vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19.

Pendedahan itu hanya dalam tempoh beberapa jam selepas Britain menjadi negara pertama dunia menggunakan vaksin tersebut.

Bagaimanapun, FDA menjelaskan, kes kematian itu tidak menimbulkan isu keselamatan atau persoalan baharu mengenai keberkesanan vaksin kerana ia berlaku ke atas populasi umum pada kadar sama.

Mengulas lanjut, Dr Hanafiah berkata, kerajaan ketika ini dilihat sedang menunggu keputusan percubaan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech itu kepada rakyat United Kingdom termasuk kesan sampingannya.

“Memang kalau boleh kita mahu vaksin yang dibeli benar-benar selamat apatah lagi mereka yang akan menerima vaksin ini pada peringkat awal adalah golongan barisan hadapan,” katanya.Kelulusan

Sementara itu, Pakar Perubatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Suhazeli Abdullah menjelaskan, berdasarkan laporan FDA, enam kematian direkodkan itu sepanjang kajian dilakukan membabitkan dua daripada kalangan yang menerima vaksin dan empat daripada kalangan yang tidak menerima vaksin.

Dr Suhazeli
Dr Suhazeli

Disebabkan itu, katanya, adanya kumpulan kawalan dalam kajian klinikal untuk memastikan keputusannya adil.

“Empat kematian adalah daripada kumpulan plasebo iaitu kumpulan yang tidak menerima vaksin Covid-19, manakala dua daripada kumpulan penerima vaksin Covid-19. Punca kematian adalah serangan jantung dan atherosclerosis.

“Kaedah kajian ini dinamakan case control study. Maknanya siapa yang didedahkan dengan virus, empat orang yang tidak menerima vaksin meninggal dunia berbanding dengan yang menerima vaksin.

“Analisis lanjut mendapati kematian dua orang itu bukan punca secara langsung daripada vaksin tetapi penyakit serangan jantung dan atherosclerosis (salur darah mengeras) yang mereka hadapi,” katanya.

Oleh itu, Dr Suhazeli menegaskan, rakyat tidak perlu risau kerana sudah pasti kerajaan akan mengambil pelbagai pertimbangan sebelum memberikan vaksin tersebut kepada rakyat pada tahun depan.

Katanya, syarat paling utama adalah vaksin berkenaan perlu kelulusan daripada badan berautoriti seperti FDA dan kemudiannya Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan menilai kesesuaian dilaksanakan dalam negara.

Dalam perkembangan sama, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar menegaskan, NPRA akan menilai semua aspek termasuk dari segi keberkesanan vaksin sebelum ia digunakan rakyat.

Dr Zainal Ariffin
Dr Zainal Ariffin

“Jadi rakyat tidak perlu risau kerana kerajaan pun pastinya akan melakukan pembelian vaksin selepas ia mendapat kelulusan NPRA.

“Enam kematian yang direkodkan dalam kajian yang dilakukan bukan disebabkan vaksin itu,” katanya.

Beliau berkata, laporan yang dikeluarkan FDA itu adalah daripada kajian awal semasa percubaan itu dilakukan dan ketika ini pihak berkenaan sedang menilai vaksin tersebut.

Malaysia pada 24 November lalu menandatangani perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal, Pfizer untuk membeli 12.8 juta dos vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi 6.4 juta rakyat negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penghantaran pertama vaksin itu akan dibuat suku pertama tahun depan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!