LJM bantu Nigeria capai pemuafakatan penuh Sydney dan Dublin Accord

ABUJA – Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) menyokong usaha Council for the Regulation of Engineering in Nigeria (COREN) menerusi program kolaborasi bimbingan bagi mempertingkatkan akreditasi pendidikan kejuruteraan di Nigeria.
Nigeria yang telah mencapai status penandatangan di bawah Washington Accord pada Jun 2023 kini memberi tumpuan untuk memperoleh pengiktirafan di bawah Sydney Accord dan Dublin Accord, khususnya bagi Pendidikan Teknologi Kejuruteraan dan Juruteknik Kejuruteraan.
Pengarah Jabatan Akreditasi Kejuruteraan LJM, Ir Zairul Amri Zakaria, dilantik mewakili LJM dalam inisiatif tersebut.
Malaysia yang telah memperoleh status penuh bagi ketiga-tiga Accord berkenaan berkongsi pengalaman serta kepakaran bagi membantu Nigeria menyesuaikan sistem dan standard akreditasi mereka selaras dengan amalan global.
Program mentor itu berlangsung di Nigeria dari 7 hingga 13 Februari 2026 dan merangkumi sesi pertemuan bersama kepimpinan COREN termasuk Ketua Pegawai Eksekutif COREN, Engr. Prof. Okorie Austin Uche; Pengerusi COREN, Engr. Prof. Christian A. Bolu; serta Pengarah Akreditasi COREN, Engr. Prof. Baba Jibril El Yakubu.

Selain itu, program berkenaan turut melibatkan sesi perkongsian Amalan Terbaik Malaysia yang menumpukan kepada penilaian pencapaian hasil program, objektif pendidikan serta penambahbaikan kualiti secara berterusan melalui amalan terbaik dan penyimpanan rekod.
Lawatan ke Dorben Polytechnic, Abuja dan Yaba College of Technology, Lagos turut diadakan bagi menilai tahap kesiapsiagaan institusi pendidikan tinggi Nigeria untuk memperoleh pemuafakatan di bawah Sydney Accord dan Dublin Accord.
Menurut Ir Zairul Amri, program mentor itu bukan sahaja membantu Nigeria memperkukuh akreditasi kejuruteraan, malah memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar amalan terbaik dan membina kapasiti yang lebih mampan dalam bidang kejuruteraan.
“Program ini bukan sekadar perkongsian teknikal, sebaliknya membuka ruang pembelajaran bersama, penyesuaian strategi serta pengukuhan kapasiti dalam sistem akreditasi kejuruteraan,” katanya.
LJM katanya, akan terus komited menyokong negara-negara yang memerlukan khidmat nasihat teknikal dan perkongsian kepakaran bagi memperkukuh sistem akreditasi serta pembangunan kejuruteraan yang mampan di peringkat antarabangsa.
Ringkasan AI
- Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) menyokong usaha Council for the Regulation of Engineering in Nigeria (COREN) untuk meningkatkan akreditasi pendidikan kejuruteraan di Nigeria
- Nigeria berusaha memperoleh pengiktirafan di bawah Sydney Accord dan Dublin Accord selepas mencapai status penandatangan Washington Accord pada Jun 2023
- Program mentor antara LJM dan COREN diadakan di Nigeria dari 7 hingga 13 Februari 2026 yang turut melibatkan perkongsian amalan terbaik Malaysia
- Lawatan dilakukan ke beberapa institusi pendidikan tinggi Nigeria untuk menilai kesiapsiagaan mereka terhadap pengiktirafan Sydney dan Dublin Accord
- Program ini memperkuatkan kapasiti akreditasi kejuruteraan dan membolehkan pertukaran amalan terbaik antara Malaysia dan Nigeria
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
