Peranan BM semakin diperkecil

A
A

ISU papan tanda jalan di bandar Shah Alam yang mempamerkan tulisan bahasa Melayu dan Cina, bukanlah satu permulaan yang disengajakan untuk merendahkan martabat bahasa Melayu malahan kes seumpama itu telah lama berlaku.

Cuma, sama ada kita sedar atau tidak, tahu atau buat-buat tidak tahu, peduli atau tidak peduli sahaja tentang kerja memperlekeh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini dibiarkan berlaku sejak sekian lama di hadapan mata kita.

Siapa yang akan menyusahkan dirinya untuk menegur perilaku pihak yang merendah-rendahkan fungsi dan peranan bahasa Melayu kerana jika teguran dibuat hingga berbuih mulut pun tiada siapa yang akan ambil peduli. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak pihak menganggap penyalahgunaan bahasa Melayu ialah fenomena biasa dan berlaku di mana-mana, bukan di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja.

Walau apa-apa pun, sebagai rakyat yang cinta akan negara dan berjati diri tinggi, kita seharusnya bersikap tegas dalam isu yang berkaitan dengan pelakuan salah terhadap bahasa Melayu. Adakah, perkara seperti papan tanda jalan pun memerlukan teguran daripada pihak istana dahulu, baru dibuat tindakan pembetulan? Pegawai di pejabat PBT hendaklah peka dan bertindak bagi memastikan semua papan tanda jalan dan papan iklan ditulis dengan meletakkan keutamaan pada bahasa Melayu selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152) dan Akta Bahasa Kebangsaan.

Jika ingin menggunakan dua bahasa, bahasa Melayu hendaklah kedudukannya di atas sekali, manakala bahasa Inggeris di baris kedua. Saiz tulisan bahasa Melayu pula hendaklah lebih besar berbanding bahasa Inggeris. Jika untuk pemahaman makna perkataan atau maksud arah jalan atau nama tempat, penggunaan bahasa lain selain dua bahasa di atas tidak diperlukan.

Hal ini kerana selepas individu melalui tahap persekolahan rendah pun, sudah faham akan maksud dan makna perkataan-perkataan yang dipaparkan. Semua murid sekolah rendah memang diajar subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dari tahun satu sekolah rendah lagi. Oleh itu, apakah masalahnya hingga perlu pula ditulis dalam dua tiga bahasa lagi?

Sejak ditubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebuah badan yang berautoriti dalam hal ehwal penggubalan istilah, pembangunan, pengembangan dan penyebaran bahasa Melayu memang telah menegaskan dasar penggunaan bahasa ini kepada semua pihak termasuklah PBT.

Sepatutnya, PBT merujuk DBP jika terdapat masalah dalam penggunaan kata, istilah atau ayat bahasa Melayu. Di DBP memang ada talian Khidmat Nasihat Bahasa (KNB) malah khidmat Munsyi Dewan juga terdapat di seluruh negara. Penulis sendiri pernah dirujuki oleh pihak majlis perbandaran untuk menentukan istilah yang sesuai bagi papan tanda nama taman perumahan.

Selain itu, penulis dari semasa ke semasa dirujuki oleh syarikat pembuat kain rentang iklan untuk mengetahui kesahihan penggunaan bahasa yang ditulis oleh pelanggannya. Jika semua pihak bertindak sedemikian tentulah banyak masalah penggunaan bahasa di tempat awam dapat diatasi.

Datuk Dr Awang Sariyan, tokoh bahasa Melayu tersohor melalui artikelnya dalam sebuah akhbar pada 4 Mac 2001 pernah menyatakan bahawa pengabaian penggunaan bahasa Melayu berpunca daripada sikap pengguna bahasa itu sendiri.

Menurutnya, banyak yang terlupa slogan bahasa Melayu sebagai “Bahasa Jiwa Bangsa” dan “Bahasa Menunjukkan Bangsa”. Dr Awang Sariyan meminta kita merenung semula sejarah.

Menurutnya, “dulu apabila Residen Inggeris ingin meminjam kereta kuda daripada Kapitan Yap Ah Loy, mereka tulis dalam bahasa Melayu. Terbukti ada kesungguhan dalam kalangan pemimpin untuk menggunakan bahasa Melayu. Begitu juga surat-menyurat kepada raja dan sultan Melayu ketika itu. Baik Portugis, Belanda atau Inggeris, mereka gunakan bahasa surat-menyurat dalam bahasa Melayu. Begitulah tingginya martabat bahasa Melayu ketika itu.”

Pada era Malaysia Baharu ini, fungsi dan peranan DBP dalam konteks penggunaan bahasa yang betul oleh PBT perlu diteliti semula. Program Ziarah Bahasa di jabatan-jabatan kerajaan dengan kerjasama kementerian dan kursus berkaitan penggunaan bahasa yang betul oleh Munsyi-munsyi Dewan di pejabat PBT yang rancak diadakan pada akhir tahun 1990-an dan awal tahun 2000-an hendaklah dihidupkan kembali.

Walau apa-apa pun, Kementerian Pendidikan selaku payung yang menaungi DBP perlulah serius dan meletakkan sejumlah peruntukan khas kewangan bagi menjayakan program yang dimaksudkan.

* Zainal Abiddin Osman, Mushyi Dewab

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.