Perginya ilmuwan terulung

No Image Caption
A
A
A

TULISAN mengenai Allahyarham Profesor Diraja Ungku A. Aziz Ungku Abdul Hamid ini adalah petikan coretan saya mengenai ilmuwan ulung bangsa yang dimuatkan dalam buku 50 Ikon Bangsa yang diterbitkan pada awal 2007.

Saya siarkan semula tulisan tersebut sebagai menghargai Allahyarham yang pulang ke rahmatullah pada petang 16 Disember 2020 di Prince Court Medical Centre di Kuala Lumpur. Allahyaham disemadikan pada malam hari yang sama di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, berhampiran dengan tempat tinggalnya.

Ungku Aziz mula saya kenali pada awal 1970-an. Selaku pemberita muda di Utusan Malaysia, saya sering ditugaskan untuk meliputi persidangan media dan majlis-majlis yang dihadiri oleh Allahyarham.

Hal ini kerana 'beat' saya sebagai wartawan adalah untuk meliputi kegiatan-kegiatan di kampus Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang pada era penubuhannya pada awal 1970an terletak bersebelahan dengan UM di Pusat Bahasa.

Dalam proses kerja itu, saya mengenali bukan sahaja para pemimpin pelajar untuk dijadikan sebagai sumber berita. Ahli-ahli akademik dan pentadbir universiti juga menjadi sumber berita yang penting untuk saya. Ungku Aziz adalah salah seorang daripada mereka.

Sewaktu UM di bawah pimpinan Naib Canselor, Datuk Dr. Hashim Yaacob mengadakan perbincangan buku saya mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun), Allahyarham adalah salah seorang ahli penal perbincangan, selain Datuk Seri Anuar Zaini, ketika itu Pengerusi Bernama dan Tan Sri Nordin Kardi, waktu itu Naib Canselor, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Walaupun sudah lama tidak bersua muka, pemergian beliau tetap merupakan satu kehilangan bagi saya.

* Ungku Aziz adalah ilmuan ulung yang sudah diiktiraf sebagai sebuah institusi yang tersendiri di negara ini melampaui bidang akademik. Beliau dan Universiti Malaya khususnya dan dunia ilmu amnya telah dianggap sinonim.

Artikel Berkaitan:

Sebagai ahli akademik beliau dihormati di dalam dan di luar negara. Beliau banyak melibatkan diri dalam bidang penyelidikan sosio-ekonomi terutama berkait dengan masyarakat desa yang hidup dalam kemiskinan. Ini termasuk tentang nelayan di Beserah dan penanam padi di Tanjung Karang. Hasil-hasil kajian beliau telah digunakan oleh kerajaan untuk memperkenalkan program-program kemiskinan di luar bandar.

Sekalipun tidak lagi menjadi Naib Canselor Universiti Malaya atau UM, tetapi pandangan dan komen beliau mengenai isu-isu semasa masih lagi menghiasi media negara, baik media cetak mahupun elektronik. Ini kerana beliau masih berupaya untuk mengeluarkan pendapat-pendapat yang bernas yang tidak difikirkan

oleh pengulas-pengulas lain baik mengenai politik, ekonomi, pendidikan, isu-isu sosial, orang Melayu dan lain-lain.

Berani

Beliau tidak takut untuk memberikan komen yang jujur, benar, berterus terang dan ada kalanya kontroversial. Meskipun pandangan beliau ada waktunya tidak disenangi, tetapi apa yang disuarakan akhirnya diterima baik oleh pelbagai pihak termasuk pihak atasan. Profesor Ungku Aziz membina namanya sewaktu beliau berkhidmat selama 20 tahun sebagai Naib Canselor UM antara 1969 hinggalah beliau bersara pada 27 Februari 1988.

Sebelum itu, selepas menamatkan pengajian daripada Universiti Malaya di Singapura dalam bidang ekonomi dengan ijazah kepujian kelas pertama, Ungku Aziz pernah berkhidmat dengan Perkhidmatan Awam Johor. Lulusan doktor ekonomi daripada Universiti Waseda, Jepun ini kemudian menjadi pensyarah ekonomi di UM Singapura.

Dari kampus beliau berhijrah ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pengarahnya. Bagaimanapun Cinta Ungku Aziz adalah terhadap dunia ilmu dan bidang akademik.

Dari DBP, beliau dilantik sebagai pensyarah kanan dan ketua jabatan ekonomi UM di Kuala Lumpur. Beliau kemudian dilantik Dekan Fakulti Sastera, kemudiannya Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran. Pada 1 Oktober 1968, kedudukan tertinggi dalam dunia akademik di UM menjadi milik beliau apabila dilantik sebagai Naib Canselornya.

Sebagai peneraju UM selama dua dekad, Ungku Aziz adalah orang yang bertanggungjawab menjadikan UM sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang ulung sehingga universiti itu mencapai taraf yang ada sekarang - diiktiraf sebagai salah sebuah universiti dalam senarai 200 universiti terbaik di dunia. UM berada pada kedudukan 89 pada 2004.

Sebagai Naib Canselor, beliau bukan sahaja membina tapak ilmu yang kukuh untuk UM yang menekankan kepada tradisi kecemerlangan ilmu, penyelidikan dan

pengajaran yang bermutu. Beliau juga bertanggungjawab terhadap pertumbuhan UM dengan pelbagai gedung ilmu. Ini termasuklah penubuhan Akademi Islam, Institut Pengajian Tinggi, Pusat Asasi Sains, penubuhan pelbagai fakulti, Pusat Bahasa, Pusat Kebudayaan, Muzium Seni Asia, Pusat Sukan, Perpustakaan Universiti Malaya, Kedai Buku Koperatif Universiti Malaya.

Ungku Aziz bukan sahaja membangunkan UM sebagai sebuah universiti tersohor yang dicemburui oleh pusat-pusat pengajian tinggi awam. Bakti dan jasa beliau turut dinikmati oleh rakyat Malaysia yang berada di luar kampus. Hasil cadangan Ungku Aziz pada 1959 dalam kertas kerja beliau yang berjudul 'Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-bakal Haji' maka lahirlah Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji pada 1 November 1962.

Dengan tertubuhnya tabung itu, maka orang Islam di negara ini boleh menyimpan wang dengan perbadanan itu dengan matlamat apabila wang yang terkumpul cukup, mereka boleh menunaikan rukun Islam yang kelima itu. Simpanan mereka juga bebas daripada sebarang unsur-unsur riba. Perbadanan itu mula bergerak pada 1 April 1963 dan telah dilancarkan pada September 1963.

Syor penubuhan Perbadanan itu dianggap sebagai sesuatu yang bernas oleh Rektor Universiti Al-Azhar, Kaherah, Sheikh Mahmud Al-Shaltut yang didatangkan khas ke Malaysia bagi mengkaji kertas kerja Ungku Aziz. Sheikh Al-Azhar menyifatkan penubuhan tabung haji itu akan memberi manfaat besar kepada kaum muslimin.

Enam tahun kemudian pada 1969, Perbadanan itu digabungkan dengan Jabatan Hal Ehwal Haji yang telah beroperasi sejak 1951 bagi mewujudkan Lembaga Urusan dan Tabung Haji bagi membolehkan Perbadanan itu bergerak dengan lebih berkesan.

Selain Tabung Haji, Profesor Ungku Aziz juga diiktiraf sebagai Bapa Koperasi Malaysia. Hasil usaha beliau maka ditubuhkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad atau Angkasa pada 12 Mei 1971. Beliau telah dilantik sebagai Yang Dipertua Angkasa sejak penubuhannya sehinggalah ke hari ini. Walaupun ada cubaan untuk menjatuhkan beliau, tetapi usaha itu tidak berjaya.

Ungku Aziz memang layak untuk menerajui gerakan koperasi di negara ini kerana beliau telah lama melibatkan diri di dalam pergerakan koperatif. Di dalam Angkasa, beliau telah menubuhkan Sekolah Latihan Komputer Angkasa (RANGKOM) untuk membantu koperasi bukan sahaja pada bidang penggunaan komputer, tetapi khidmat rundingan mengenai komputer. Majalah rasmi Angkasa, Pelancar telah diterbitkan berikutan cadangan daripada beliau dan beliau adalah seorang daripada sidang pengarang majalah tersebut.

Walaupun sibuk dengan tugas-tugas berat di UM dan di Angkasa, Ungku Aziz masih ada waktu untuk menjadi pengerusi pertama Lembaga Amanah Balai Seni Lukis Negara yang mula disandang pada 11 Jun 1963. Beliau kekal pada kedudukan itu selama 10 tahun sehingga 1973. Selaku pengerusi, beliau berjaya memperoleh sebidang tanah seluas 10.25 ekar di Taman Bunga untuk dijadikan tapak bangunan baru Balai Seni Lukis Negara.

Pelbagai artis dalam dan luar negara telah dijemput untuk mempamerkan karya masing-masing di balai itu. Ungku Aziz juga pernah menjadi ahli Majlis Penyeliaan Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) antara 1 Oktober 1968 hingga 2 Februari 1988. Apabila kerajaan memutuskan untuk menubuhkan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) yang bertanggungjawab untuk mengelolakan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 1980, Ungku Aziz telah dilantik sebagai pengerusi pertamanya.

Sebelum itu, pemeriksaan itu dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan University of Cambridge. Khidmat Ungku Aziz juga pernah digunakan oleh kerajaan

untuk menyelesaikan mogok pekerja Keretapi Tanah Melayu yang berlangsung selama 23 hari antara 22 Disember 1962 hingga 12 Januari 1963. Sebagai orang perantaraan, beliau mengambil masa 12 hari untuk mengadakan perbincangan-perbincangan dengan Kesatuan Sekerja Keretapi dan pihak pentadbiran Keretapi Tanah Melayu.

Usaha gigih beliau telah membawa kepada persetujuan kedua-dua pihak dan satu skim perkhidmatan yang baru lagi baik telah dihasilkan. Ungku Aziz turut memainkan peranan sebagai penasihat di dalam Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW). Sumbangan beliau kepada NUPW adalah penting dari segi menaikkan taraf hidup pekerja-pekerja ladang, memperolehi tunggakan gaji daripada majikan pada 1949 dan memperkenalkan rancangan pendidikan.

Rahsia kekal sihat

Selepas bersara daripada kedudukannya sebagai Naib Canselor pada 1988, Ungku Aziz kekal sebagai profesor pelawat di UM. Beliau terus mencurahkan bakti dalam bidang koperatif yang sudah menjadi darah daging beliau selain menjadi ahli lembaga pengarah beberapa buah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Beliau juga melakukan penyelidikan tentang pantun dan berharap untuk menerbitkannya tidak lama lagi. Rahsia beliau kekal sihat dan kelihatan muda sekalipun sudah berusia lebih 80 tahun, kerap dikorek oleh media massa. Beliau terus menjadi personaliti yang ingin ditemuramah oleh akhbar mengenai pelbagai isu semasa,

terutama yang berkait dengan ekonomi dan orang Melayu.

Sempena perayaan ulang tahun UMNO ke 59 pada 11 Mei 2005, Ungku Aziz dinobatkan sebagai penerima pertama Anugerah Melayu Terbilang. Anugerah itu diwujudkan sebagai mendokong usaha presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melahirkan lebih ramai Melayu unggul dalam kalangan orang Melayu.

Ungku Aziz difikirkan menepati ciri-ciri yang ditakrifkan sebagai towering Malay itu. Mengiringi anugerah itu ialah hadiah wang tunai RM100,000 selain sijil dan piala penghargaan. Ungku Aziz memang berazam untuk menjadi insan yang berjaya dan berguna kepada masyarakat sejak kecil lagi. Kematian ibunya ketika beliau berusia empat tahun telah mengajar beliau untuk menjadi individu yang berdikari.

Apabila ayahanda beliau meninggal dunia ketika beliau berusia 17 tahun, tidak banyak harta yang ditinggalkan kepada Ungku Aziz. Tetapi bapanya meninggalkan roadmap yang sampai sekarang memandu kehidupan beliau - kalau tidak berjaya dalam pelajaran, kamu tidak akan jadi sesiapa.

Kata Ungku Aziz, dalam satu temuramah dengan Mingguan Malaysia selepas menerima Anugerah Melayu Terbilang: "Arwah ayah saya menasihatkan bahawa dalam apa keadaan, saya mesti belajar kerana kejayaan itu datang daripada usaha kita belajar. Dia tiada galang ganti. Dia menanam dalam dada saya bahawa kejayaan akan datang dengan belajar sungguh-sungguh."

Kata-kata perangsang ayahnya itulah yang mendorong Ungku Aziz belajar bersungguh-sungguh sewaktu belajar di English College, Universiti Waseda di Jepun, College di Singapura sehingga lulus ijazah sarjana muda dengan kepujian kelas pertama. Beliau kemudian belajar sehingga kedoktoran ekonomi dari Universti Waseda.

Dalam hidup, Ungku Aziz ialah individu yang tidak suka meminta-minta termasuk daripada saudara mara sendiri. Sewaktu menjadi yatim piatu pada 1939, beliau tidak mengharapkan pertolongan sesiapa walaupun bapa saudaranya, Datuk Onn Jaafar ketika itu menjadi Menteri Besar Johor. Sebaliknya Ungku Aziz banyak terpengaruh dengan apa yang ditulis oleh Pendeta Zaaba dalam buku karangannya yang berjudul Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri. Antara lain di dalam buku itu Zaaba menganjurkan orang Melayu supaya ada keyakinan diri dalam melakukan apa juga. Untuk berjaya, mereka juga tidak boleh bergantung kepada orang lain.

Mereka hendaklah berdikari. Kata Ungku Aziz, orang Melayu juga tidak boleh berpegang kepada lagu Que Sera, Sera apa nak jadi, jadilah. Sebaliknya beliau menganjurkan Melayu yang ingin menjadi unggul supaya berpegang kepada falsafah samurai yang pantang dicabar, tidak tahu takut dan berani. Kata beliau: "Satu perkara yang saya belajar semasa di Jepun ialah sifat samurai: Kalau dicabar, tarik pedang dan lawan. Kalau menang, menanglah; kalau kalah mati, habis cerita. Saya fikir orang yang hendak jadi unggul ini perlu ada semangat seperti itu — pantang dicabar, tidak tahu takut dan tidak kenal undur. Semangat samurai ini kepada saya ialah sifat perkasa. Sifat orang yang berjaya ialah mereka mesti berani."

Pemakanan

Selain itu Ungku Aziz juga berpegang kuat kepada teorinya yang mengaitkan pemakanan yang baik dengan pembinaan otak dan tubuh badan yang sihat - prasyarat penting sekiranya orang Melayu ingin maju. Menurut beliau, jika ingin berjaya tubuh orang Melayu mesti besar dan tinggi, selain otak yang baik tentunya.

Kata Ungku Aziz: "Cuba kita lihat di sekeliling kita. Orang yang berjaya biasanya tubuh mereka besar dan tinggi, bahu mereka lebar. Ini semua datang daripada pemakanan yang baik. Pemakanan bukan sahaja mempengaruhi saiz badan, tetapi lebih penting pembinaan otak. Otak mereka lebih cekap seperti bateri yang sudah dicas dengan baik. Otak kita ini seperti bateri. Kita cas otak dengan makanan yang berzat dan seimbang. Kita harus melakukan dari sekolah rendah.'

Bagi Ungku Aziz, masalah kritikal orang Melayu sejak berpuluh-puluh tahun lalu berpunca daripada makanan. Beliau mencadangkan ibu bapa memberi anak-anak mereka makanan yang seimbang dan berzat semasa tempoh kritikal mereka membesar antara bayi hingga tujuh tahun. Tegas beliau: "Kalau mahu jadi bangsa yang unggul orang Melayu mesti bersaiz besar."

*Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI)