Era baharu PN di bawah Dr Sam

PELANTIKAN Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menerusi Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi gabungan itu menandakan bermulanya satu fasa baharu dalam politik kepimpinan Malaysia.
Keputusan itu bukan sekadar pertukaran kepimpinan, tetapi membawa mesej bahawa PN sedang menyusun langkah lebih tersusun dan berstrategi dalam kerangka menawarkan kepimpinan nasional yang diyakini menjelang PRU16.
Sebagai Pengerusi, beliau memikul tanggungjawab besar untuk memimpin gabungan yang terdiri daripada Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Malaysian Indian People's Party (MIPP).
Jawatan ini bukan bersifat simbolik, sebaliknya menentukan hala tuju dasar, strategi pilihan raya serta kredibiliti PN sebagai sebuah gabungan yang bersedia memimpin negara.
Latar belakang beliau memberikan dimensi tersendiri. Berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Aeroangkasa dari University of Leeds serta berpengalaman sebagai ahli akademik dan penasihat teknologi, Dr Samsuri membawa imej kepimpinan profesional yang berteraskan fakta dan angka.
Dalam konteks Pas, beliau memperlihatkan definisi baharu kepimpinan — daripada model ulama tradisional kepada kepimpinan ulama-teknokrat yang lebih inklusif, menterjemahkan kesyumulan Islam dalam suasana pentadbiran moden yang semakin mencabar.
Pengalaman beliau menerajui Terengganu selama dua penggal sebagai Menteri Besar memperkukuh kredibiliti tersebut. Di bawah kepimpinan beliau, PN mencatat kemenangan menyeluruh dalam pilihan raya negeri apabila memenangi semua kerusi DUN di Terengganu — menjadikan negeri itu satu-satunya tanpa pembangkang di Dewan Undangan Negeri.
Di peringkat Parlimen pula, PN turut menyapu bersih semua kerusi di Terengganu. Rekod ini memberi legitimasi politik yang kukuh kepada beliau di pentas nasional.
Namun, ukuran sebenar kepimpinan nasional bukan sekadar rekod pilihan raya, tetapi keupayaan menangani isu yang menghimpit rakyat hari ini — khususnya kos sara hidup, tekanan pendapatan dan ketidaktentuan ekonomi.
Pertama: Kos Sara Hidup
Realitinya, rakyat sedang berhadapan dengan kenaikan harga makanan, perumahan dan perkhidmatan asas yang menekan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana. Gangguan rantaian bekalan global, kebergantungan kepada import makanan serta ketirisan dalam sistem pengedaran domestik memburukkan keadaan.
Dalam kerangka ini, PN di bawah kepimpinan Dr Samsuri boleh mengangkat agenda penstrukturan semula rantaian bekalan makanan secara menyeluruh — daripada pengeluaran hingga ke pengguna.
Penekanan kepada sekuriti makanan domestik, peluasan penggunaan teknologi pertanian, pengurangan peranan orang tengah serta pengukuhan pengeluaran tempatan mampu membantu menstabilkan harga dalam jangka sederhana. Pendekatan ini perlu disokong oleh data kos sebenar, pemetaan kecekapan logistik dan mekanisme pemantauan harga yang telus.
Kedua: Pendapatan dan Gaji
Keadaan semasa menunjukkan pertumbuhan gaji yang tidak seiring dengan peningkatan kos hidup.
Produktiviti yang sederhana, dominasi pekerjaan berkemahiran rendah serta pelaburan terhad dalam sektor tertentu menjadi antara punca utama.
Cadangan yang wajar diketengahkan adalah agenda peningkatan produktiviti nasional melalui pemerkasaan industri berteknologi, inovasi tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana.
Reformasi pendidikan dan latihan teknikal perlu diperkukuh agar peningkatan kemahiran pekerja selari dengan keperluan industri masa hadapan. Dengan latar belakang teknikalnya, Dr Samsuri berpotensi mengangkat wacana ekonomi yang berfokus kepada penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi berasaskan kemahiran dan nilai tambah.
Ketiga: Tadbir Urus Fiskal
Dalam suasana defisit fiskal dan hutang negara yang tinggi, disiplin kewangan menjadi keutamaan. Rakyat menuntut ketelusan dan kecekapan dalam perbelanjaan awam, khususnya dalam pelaksanaan subsidi dan bantuan bersasar.
PN berpeluang menampilkan komitmen terhadap pengurusan fiskal yang berhemat, mengurangkan pembaziran serta memastikan setiap ringgit perbelanjaan memberi impak maksimum kepada kesejahteraan rakyat. Ketelusan dalam pelaporan kewangan dan pengukuhan tadbir urus akan menjadi asas penting memulihkan keyakinan pelabur dan memperkukuh daya tahan ekonomi.
Dalam masa sama, harapan besar kini tertumpu kepada kemampuan beliau merejuvenasi PN sebagai sebuah gabungan yang lebih tersusun, matang dan berwibawa. Penyatuan visi antara parti komponen serta penampilan agenda nasional yang jelas akan menjadi kunci dalam membina keyakinan menjelang PRU16.
Secara keseluruhannya, pelantikan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mencerminkan usaha membawa pendekatan kepimpinan yang lebih profesional, berasaskan fakta dan angka serta berpaksikan penyelesaian dasar yang realistik dan pragmatik.
Tumpuan kepada beberapa keutamaan utama — kos sara hidup, pendapatan dan tadbir urus fiskal — penting untuk membentuk naratif kepimpinan yang fokus dan meyakinkan.
Sama ada era baharu PN ini menjadi titik perubahan bergantung kepada keupayaan menterjemahkan pengalaman negeri kepada kerangka nasional.
Jika berjaya, kepimpinan ini bukan sahaja merejuvenasi PN, malah berpotensi menawarkan harapan baharu ke arah Malaysia yang lebih sejahtera dan lebih baik pada masa hadapan.
*Dr. Baharom Abdul Hamid ialah Profesor di Pusat Pendidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (INCEIF) dan Felo Ekonomi dan Perniagaan di The Future Research
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
