Amanah jasad: Mengapa kesan ubat berubah ketika berpuasa?

SEORANG lelaki berusia 55 tahun datang ke klinik pada minggu kedua Ramadan dengan keluhan badan terasa sangat lemah menjelang tengah hari. Kepalanya sering berpusing dan terasa berpijak di awan apabila bangun dari kerusi.
Beliau adalah pesakit darah tinggi yang sangat patuh mengambil ubat, cuma waktunya diubah ke waktu sahurdan berbuka. Persoalannya, jika ubat diambil dengan penuh disiplin, mengapa badan tetap terasa tidak stabil?
Hakikatnya, Ramadan bukan sekadar perubahan waktu makan, tetapi satu fasa di mana tubuh manusia melalui transformasi fisiologi yang menyeluruh. Apabila kita berpuasa selama 13 hingga 14 jam, ritma sirkadian atau kitaran 24 jam badan mengalami anjakan yang besar.
Perubahan ini memberi kesan langsung kepada carabadan menyerap, mengedar, memproses ubat didalam badan dan menyingkirkan ubat melalui sistem yang dipanggil farmakokinetik.
Di sinilah kita melihat betapa halusnya sistem biologi yang diciptakan oleh Yang Maha Esa di mana setiap organ bertindak sebagai petugas yang sangat sensitif terhadap perubahan persekitaran tubuh.
Apabila perut kosong dalam tempoh yang lama, keadaan di dalam sistem penghadaman kita berubah sepenuhnya. Ramai beranggapan ubat akan lebih cepat berkesan jika diambil ketika perut kosong, namun proses ini tidak semudah itu.
Semasa berpuasa, pengosongan gastrik atau tempoh makanan keluar dari perut biasanya menjadi lebih perlahan terutamanya pada penghujung waktu siang. Tahap keasidan perut juga mencapai kemuncaknya pada waktu malam, yang mana ia akan menjejaskan kadar kelarutan ubat-ubatan tertentu.
Jika persekitaran ini berubah, kadar penyerapan ubat mungkin menjadi tertunda atau tidak sekata. Inilah sebabnya mengapa pesakit kadang-kadang merasakan ubat mereka seolah-olah kurang berkesan, lalu bertindak sendiri menambah dos tanpa nasihat pakar, sedangkan masalah sebenar terletak pada perubahan cara tubuh menguruskan ubat tersebut ketika berpuasa.
Selain sistem penghadaman, status cecair dalam badan atau hidrasi juga memainkan peranan yang kritikal. Ketiadaan pengambilan air sepanjang hari menyebabkan kepekatan darah berubah dan mengubah ruang pengedaran ubat di dalam badan.
Apabila jumlah bendalir berkurang, tekanan darah secara semula jadi akan menjadilebih rendah. Ubat diuretik (ubat kencing) khususnya adalah antara ubat yang paling kerap menimbulkan gejala pening dan dehidrasi ketika berpuasa.
Bagi pesakit darah tinggi yang mengambil ubat jenis diuretik, gabungan antara kesan puasa dan ubat boleh menyebabkan tekanan darah turun lebih banyak daripada yang dijangka. Hal ini mengakibatkan fenomena hipotensi postural atau rasa pening yang melampau apabila berubah posisi secara tiba-tiba.
Dalam konteks ini, kesihatan adalah amanah yang perlu dijaga dengan ilmu kerana sedikit kekurangan cecair sudah cukup untuk mengubah bagaimana ubat bertindak balas di dalam salur darah kita. Organ hati pula bertindak sebagai pusat pemprosesan utama melalui sistem enzim yang dikenali sebagai Cytochrome P450.
Menariknya, puasa jangka pendek didapati boleh mengubah aktiviti enzim ini secara tidak seragam. Sebagai contoh, sesetengah ubat untuk asma atau darah tinggi mungkin diproses lebih cepat sehingga kesannya hilang lebih awal daripada biasa. Sebaliknya, ada ubat yang diproses lebih perlahan, menyebabkan parasnya meningkat di dalam darah dan mengundang risiko ketoksikan.
Begitu juga dengan buah pinggang yang menapis sisa ubat. Apabila penghasilan air kencing menurun mengikut kadar pengambilan air, ubat yang bergantung kepada perkumuhan buah pinggang seperti ubat sakit saraf atau antibiotik tertentu mungkin kekal lebih lama dalam badan, sekali gus meningkatkan risiko kesan sampingan sepertiloya atau tidak sedap badan.
Satu lagi amalan yang sangat berisiko ialah tindakan menggabungkan beberapa dos ubat yang sepatutnya diambil beberapa kali sehari kepada satu waktu sahaja ketika sahur atau berbuka.
Sebagai contoh, menggabungkan dos ubat tahan sakit jenis NSAIDs secara semberono pada waktu perut kosong boleh merosakkan lapisan mukosa gastrik dan menyebabkan luka di perut.
Walaupun mengambil ubat bersama makanan mungkin melambatkan sedikit kesan tahan sakit tersebut, perlindungan terhadap organ perut adalah jauh lebih utama.
Pesakit harus memahami bahawa tubuh memerlukan paras ubat yang stabil di dalam darah untuk memastikan rawatan berkesan. Lonjakan paras ubat yang terlalu tinggi pada satu masa bukan sahaja berbahaya malah boleh merosakkan fungsi organ dalaman.
Pesakit tidak digalakkansama sekali mengubah dos atau menggabungkan ubat tanpa nasihat doktor atau ahli farmasi kerana tindakan ini boleh menyebabkan paras ubat menjadi terlalu tinggi atau terlalu rendah dalam darah.
Bagi pesakit kencing manis pula, risiko yang paling ditakuti adalah hipoglisemia atau paras gula darah yang terlalu rendah di siang hari. Ubat-ubatan yang merangsangrembesan insulin perlu diselaraskan dosnya, malah dalam sesetengah keadaan, dos tersebut perlu dikurangkan sehingga separuh bagi mengelakkan pesakit menggigil atau pitam.
Pendidikan awal adalah wajib agar pesakit tahu bagaimana untuk memantau paras glukosa dengan lebih kerap. Begitu juga bagi pesakit sawan di mana ubat jenis pelepasan perlahan lebih disyorkan supaya kepekatan ubat kekal stabil walaupun jadual tidur dan makan mereka berubah sepanjang bulan Ramadan.
Oleh yang demikian, memahami cara tubuh bertindak balas terhadap ubat ketika berpuasa adalah langkah pertama untuk memastikan ibadah dapat diteruskan dengan selamat.
Perbincangan awal dengan doktor untuk menyelaraskan jadual mengikut prinsip kronofarmakologi iaitu mengambil ubat mengikut kesesuaian hormon dan kitaran badan adalah sangat penting.
Ramadan adalah bulan untuk kita menghargai nikmat kesihatan dan kebijaksanaan aturan Tuhan pada jasad kita.
Berpuasa dengan selamat bukan sekadar soal menahan lapar, tetapi juga soal memahami bahasa tubuh kita sendiri agar amanah jasad ini sentiasa terpelihara.
*Dr Azril Shahreez Abdul Ghani ialah Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan di Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
*Dr Sharifah Zamiah Syed Abdul Kadir ialah Pensyarah farmakologi di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
