Siapa kata kita sayangkan bahasa?

BM ialah bahasa yang indah dan tidak kurang istilah serta kosa katanya.
BM ialah bahasa yang indah dan tidak kurang istilah serta kosa katanya.
A
A
A

KITA bukan sahaja tidak menghormati Bahasa Melayu (BM), bahasa kebangsaan kita tetapi secara berleluasa tergamak menggunakannya secara salah dan tidak tepat.

Usahkan menjaga nahu dan ejaan, prinsip semudah membezakan di mana kata sendi 'di' harus dirapat (dipukul) atau dijarakkan (di KL) juga tidak kita pedulikan.

Saya tidak menyalahkan penggunaan bahasa cerca merba, kacau bilau dan kelam kabut dalam media sosial semata-mata. Atau bagaimana BM sudah diturunkan darjatnya sebagai bahasa caci maki di alam maya (Sila baca tulisan saya “BM jadi bahasa caci maki, Sinar Harian, 14 Februari 2026). Saya lebih kesal penggunaan bahasa yang salah, tidak tepat atau asing dalam urusan rasmi negara.

Ambil sahaja perkataan luncur – yang kini kata terbitannya, peluncuran mulai menggantikan perkataan pelancaran yang lumrah kita gunakan. Banyak orang menanyakan mana satukah yang lebih betul - pelancaran atau peluncuran? Apakah kedua-duanya sama makna dan boleh dipakai? Hal ini tambah membingungkan pengguna bahasa apabila beberapa kementerian kerajaan menggunakan perkataan peluncuran untuk tujuan itu.

Saya bukan pakar bahasa, saya pengguna bahasa. Saya juga bukan seorang fanatik dalam soal kebahasaan. Saya percaya pada sosio-linguistik di mana pengaruh sosial boleh mempengaruhi pemakaian sesuatu kata atau ungkapan.

Saya percaya juga tentang evolusi bahasa. Juga bagaimana kata-kata atau ungkapan boleh hilang atau berkubur disebabkan pengguna bahasa tidak menggunakannya atau tidak popular. Rumah sakit, rumah pasung dan tetuang udara tidak lagi digunakan untuk hospital, lokap atau balai polis dan radio.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pernah mengeluarkan penjelasan bahawa perkataan peluncuran dengan maksud yang sama dengan pelancaran iaitu hal atau perbuatan memperkenalkan produk atau program, boleh digunakan.

Hujah DBP adalah sebagai bahasa yang hidup, kosa kata BM sentiasa berkembang penggunaannya. Dalam konteks ini, perkataan peluncuran mengalami peluasan makna. Saya sama sekali tidak bersetuju dengan hujah itu. Kenyataan DBP tambah mengeruhkan suasana.

Sepatutnya DBP jelaskan memang secara semantik maknanya sama – tetapi dalam konteks penggunaan, berbeza mengikut negara pengguna. Peluncuran dalam Bahasa Indonesia, pelancaran untuk BM. Seperti juga perkataan kebijakan dalam Bahasa Indonesia dan dasar dalam BM – maknanya sama, penggunaannya mengikut negara pengguna.

Artikel Berkaitan:

Memang benar, luncur ada dimuatkan dalam Kamus Dewan Perdana terbitan DBP. Tetapi jikalau diteliti kata luncur pada halaman 1,367 kamus itu TIDAK memberikan makna “perbuatan memperkenalkan produk atau program.” Malah pada halaman yang sama, perkataan meluncurkan diberikan dua makna, kedua-duanya tidak memberikan maksud melancarkan seperti yang kita fahami.

Malah dalam kamus itu perkataan lancar diberi makna yang pelbagai, lebih separuh halaman 1,233 dan 1,234 bermuat penjelasan makna sebenarnya berserta kata terbitan dari perkataan lancar. Dalam Kamus Dewan Edisi Empat yang lebih dahulu terbitnya dari Kamus Dewan Perdana, halaman 880 dan 881 bermuat penjelasan tentang makna lancar yang sebenar, termasuk makna 'memperkenalkan produk atau program' tadi. Kita ada perkataan lancar mengapa program atau produk kita harus diluncurkan?

Kita sedar tentang pengaruh Bahasa Indonesia dalam bahasa kita. Memang banyak persamaan di antara kedua-dua bahasa serumpun itu. Tetapi Bahasa Indonesia punya ciri-cirinya yang khusus, unik serta istimewa. Demikian juga BM.

Proses evolusi

Saya sama sekali tidak menentang pengambilan apa sahaja perkataan dalam apa bahasa sekalipun ke dalam BM. Memang itulah sebenarnya proses evolusi bahasa. Kita mengambil perkataan Sanskreta, Arab, Cina, Portugis, Inggeris, apa sahaja dalam pembinaan bahasa kita. Bahasa itu dinamik. Bahasa yang berhenti menjadi dinamik akan mati. Korpus bahasa kita terbina daripada proses penerimaan dan penyesuaian yang amat dinamik sifatnya.

Tetapi apakah penggunaan ayat ini wajar? (Saya pinjam dari sindiran dalam kolum Awang Paku Serpih yang tersiar dalam akhbar ini pada 26 Julai 2025): “Janganlah kita berpurbasangka akibat ketidakupayaan kita bertaakul bagi menkedepankan kesenjangan dalam hal kebinekaan.” Atau perlukah kita menggunakan tiwikrama untuk menggantikan bersungguh-sungguh?

Sampai begitukah terbukanya penerimaan kita dalam konteks perkataan dan istilah asing? Satu masa dahulu (sebelum Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengajar di pusat-pusat pengajian tinggi kita) hampir sejuta istilah dalam pelbagai disiplin ilmu telah dicipta. Entah berapa banyak wang dan masa yang terbuang. Tetapi istilah-istilah itu hanya tinggal dalam lipatan fail digital DBP. Hampir semua disiplin keilmuan – dari perubatan, kejuruteraan hingga media – diajar dalam Bahasa Inggeris sekarang.

Siapa kata kita peduli bahasa bahasa kebangsaan kita? Salah satu prinsip penting proses pembinaan istilah ini adalah sekiranya ada mana-mana kata, kosa kata, ungkapan atau istilah dalam BM termasuk daripada sumber daerah – yang boleh digunakan, maka harus diberikan keutamaan. Inilah yang sepatutnya menjadi prinsip kita dalam berbahasa.

BM bahasa yang indah. BM tidak kurang istilah dan kosa katanya. BM mempunyai puluhan kata untuk menggantikan 'saya', entah puluhan kata lain yang menggambarkan tentang kasih dan sayang, ratusan nama awan, tumbuhan, haiwan dan entah ribuan kata yang boleh diberikan pada produk dan perkhidmatan kita. Sebaliknya kita menamakan jalan kita Alpha dan Beta dan kereta nasional kita Bezza, Axia, Alza, Iriz, Ativa, Aruz dan entah apa lagi.

Dalam sebuah rencana saya dalam akhbar ini saya pernah menyatakan kekecewaan saya tentang pembunuhan kejam ke atas kata sendi nama oleh. Hari ini editor media BM menggemari ayat seperti ini: “Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri” atau “Anak dara itu dipatuk ular.” Demikian juga saya menegur hilangnya hari, bulan dan tahun dalam media.

Ayat-ayat janggal ini berleluasa: “Majlis itu dibuat pada Jumaat”, “Dia dilahirkan pada Mac 1985” atau “Malaya mendapat kemerdekaan daripada British pada 1957.” Kesalahan menonjol dan menyedihkan ini masih berleluasa.

Siapa kata kita sayangkan bahasa kita?

* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau mantan Pengerusi DBP. Beliau menulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!