'Ini adalah sogokan' - KJ

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa pengumuman geran kepada golongan belia di Terengganu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis pada Jumaat sebagai satu bentuk sogokan.

"Bawah Akta Pencegahan Rasuah, sogokan pada bila-bila waktu tidak dibenarkan...dan ini (pengumuman Zahid) adalah sogokan.

"Saya tidak ada keyakinan ia akan disiasat," katanya pada siaran podcast Keluar Sekejap pada Sabtu.

Ahmad Zahid mengumumkan geran berjumlah RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) selain peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu.

Turut diumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri itu.

Ahmad Zahid berkata, jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan itu dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul (LesGU) sempena program Sentuhan Kasih Desa di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun Terengganu.

Dalam pada itu, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan turut senada dengan Khairy dengan menyifatkan tindakan Ahmad Zahid sebagai satu kesalahan.

"Dia (Zahid) bercakap khusus untuk belia Terengganu. Cakap akan tambah syaratnya kena undi PH, BN...mungkin dari segi teknikal boleh bercakap sebegini kalau belum penamaan calon, saya pun tidak pasti.

"Benda ni memang tak betul, terpulang kepada penyokong PH-BN sama ada mahu biarkan," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!