Kes aktif Covid-19 di Johor disumbang Kluster Tembok Gajah

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kluster Tembok Gajah terus menyumbang kepada peningkatan kes Covid- 19 di Johor iaitu sebanyak 234 kes baharu dari kluster berkenaan dilaporkan setakat semalam.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, Kluster Tembok Gajah dilaporkan pada 18 Disember lalu melibatkan Penjara Kluang.

"Terdapat 234 kes baharu dilaporkan dari kluster tersebut, hasil pengesanan dan saringan ke atas kontak di dalam institusi berkenaan.

"Ini menjadikan kumulatif kes setakat ini sebanyak 303 kes, melibatkan 280 banduan dan 23 kakitangan penjara," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Vidyanantan, tindakan pencarian kes secara aktif (ACD) oleh Jabatan Kesihatan Negeri di dalam mengekang penularan masih dilakukan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) penjara Kluang, bermula Sabtu lalu.

Justeru katanya, sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) diwujudkan dalam Kompleks Penjara Kluang bagi merawat pesakit Covid-19 tanpa gejala dan gejala ringan.

Mengulas lanjut mengenai kes jangkitan baharu jangkitan Covid- 19 di negeri itu Vidyananthan berkata, sebanyak 278 kes jangkitan baharu direkodkan pada Isnin.

"Pecahan kes jangkitan baharu itu melibatkan 246 kes daripada kluster sedia ada, 16 kes daripada saringan kontak rapat kes Covid-19, 15 kes daripada lain-lain saringan Covid-19 dan satu kes import.

Artikel Berkaitan:

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif di Johor secara keseluruhannya sebanyak 23 kluster. Antaranya adalah Kluster Kobena (mukim Tebrau), Kluster Kota Kecil (mukim Kota Tinggi), Kluster Makmur (mukim Kulai), Kluster Kiambang (mukim Tenggaroh), Kluster Jeri (mukim Sedili Besar) dan Kluster Padang (mukim Ulu Sungai Johor)," katanya.